Masuk atau tak masuk?!
2026-03-21 - 04:10
Empat hari lalu semasa saya baca pengumuman Takiyuddin Hassan pasal MIC kini dah jadi komponen Perikatan Nasional, jujur saya angkat topi kerana akhirnya berani buat keputusan muktamad. Tak macam MCA yang berterusan acah-acah nak keluar BN. Yang saya pelik mengapa setiausaha agung PN yang mengumumkannya, dan bukan MIC sendiri. Kalau MIC yang umum memang stylo. Susulan pengumuman Takiyuddin, saya hubungi seorang kawan yang pernah bekerja untuk seorang pemimpin tertinggi MIC suatu ketika dahulu, untuk bertanya adakah pengumuman Takiyuddin itu benar, dan apa pandangannya tentang MIC sertai PN. Afterall beliau masih ahli parti. “As far as I know tak ada lah brother,” jawabnya menerusi WhatsApp. Sedang saya baca teksnya, berita penafian Timbalan Presiden M Saravanan masuk dalam telefon lantas saya forward kepada kawan itu. Respon beliau menarik: “Tu dia... but damage control siapa nak buat sekarang?” Saya lontar adakah PN sedang cuba drive a wedge between MIC dan Umno dan melaga-lagakan mereka. Kata beliau, jika bukan itu, barangkali ada miscommunication antara pemimpin MIC. “Party president gives the last word,” katanya. Perbualan kami berhenti di situ. Saya tertanya-tanya mungkinkah PN sengaja meletakkan MIC dalam situasi sukar pada mata BN khususnya Umno? PN barangkali sudah bosan MIC asyik acah-acah nak tinggalkan BN tetapi masih kekal, seolah-olah menggunakan PN untuk gertak Umno. Seakan MIC mahu beritahu Umno, “jaga kami baik-baik kalau tidak kami angkat kaki masuk PN”. Agak-agak begitu ke keadaannya? Dalam penafiannya, Saravanan berkata MIC tidak mengemukakan permohonan untuk menyertai PN, sebaliknya hanya membuat pertanyaan berhubung parti komponen PN. Ertinya memang adalah tulis surat kepada PN tetapi hanya untuk mendapatkan maklumat lanjut. Ada niat nak sertai PN? Jika tidak, utus surat buat apa? Menurut Malaysiakini, Saravanan mengakui “we just asked what kind of offer you will give us”. Maksudnya trying to strike the best possible deal? Ada tawar-menawar ke? Namun kata Saravanan “terdapat tawaran daripada bekas pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk MIC menyertai PN jadi kami hanya mengemukakan pertanyaan”. Tetapi jika MIC betul-betul mahu keluar BN dan masuk PN, saya rasa Umno sebagai tulang belakang BN tidak begitu gusar terutama pada waktu ini ketika Umno merasa dirinya kembali steady. Lagi pun MIC sekarang bukan macam dulu. Jika waktu MIC disokong majoriti masyarakat India dulu tentu Umno akan risau lantas datang memujuk. Sekarang tidak. MIC tidak ada lagi sokongan masyarakat India lalu Umno tidak gusar jika MIC tinggalkan BN. Perlu juga difikirkan apa yang MIC bring to the table untuk PN — tak kisahlah apa di sebalik pengumuman Takiyuddin. Hakikatnya tanpa sokongan padu masyarakat India, apa yang boleh dilakukan MIC supaya Indian votes come PN way? PN sudah ada MIPP atau Parti Rakyat India Malaysia sebagai komponen untuk dapatkan (atau sekurang-kurangnya cuba raih) pengundi India, meskipun diakui parti itu juga berdepan kesusahan dalam usahanya. Bukanlah rahsia MIPP tidak akan mengalu-alukan MIC ke dalam PN dengan tangan terbuka. Pasti ada perasaan iri hati dan cemburu. Kedua-dua akan berlumba-lumba cuba menyakinkan PN (baca: PAS) bahawa merekalah yang boleh diharapkan as far as Indians votes are concerned. Dalam situasi begini ada kemungkinan both will end up fighting each other. Sebenarnya pengundi India ada banyak pilihan unuk sokong parti lain yang dianggotai orangi India, seperti PKR dan DAP malah Gerakan yang juga komponen PN. Jika bercakap mengenai parti majoriti India, ada PSM yang sememangnya memperjuangkan nasib golongan pekerja bergaji rendah yang kebanyakannya daripada masyarakat India. Semalam, Malaysiakini menyiarkan laporan “PN terdesak, MIC berbolak-balik: Strategi merisik yang makan diri” yang memaparkan pendapat penganalisis politik. Kesimpulan laporan itu ialah PN terdesak untuk menonjolkan imej kepelbagaian bangsa dan agama, manakala MIC yang berbolak-balik nak masuk PN atau tidak sambil buat enquiries dilihat sebagai merisik-risik yang akhirnya memerangkap diri sendiri. Semalam juga FMT menyiarkan laporan yang memetik sumber berkata kembalinya perpaduan dalam Umno punca MIC tangguh sertai PN. Perpaduan yang dimaksudkan ialah kembalinya bekas pemimpin parti yang pernah bersengketa dengan pimpinan, antaranya Khairy Jamaluddin. Pada hemat saya apa yang berlaku akan buat BN dan PN memandang serong kepada MIC. Apa pun apa akhirnya kisah ini? Kata Saravanan semuanya akan diputuskan oleh CWC atau Jawatankuasa Kerja Pusat. Ertinya sama ada MIC kekal dalam BN atau jadi kompoen PN akan ditentukan oleh CWC. Perlu dinyatakan tertakluk keputusan PN pula nak terima MIC atau tidak after all the denial and what not. Dikatakan CWC akan bermesyuarat pada 25 Mac ini. Sementara itu lebih elok kita menikmati juadah Aidilfitri. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.