TheMalaysiaTime

Mas Ermieyati letak jawatan pengerusi PN Melaka

2026-03-07 - 05:44

Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini letak jawatan ketua Bersatu Masjid Tanah susulan krisis dalaman parti itu. PETALING JAYA: Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin meletak jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, beberapa minggu selepas mengosongkan kerusi ketua Bersatu Masjid Tanah. Menurut beliau, keputusan berkuat kuasa semalam itu diambil bagi membolehkan Ahmad Samsuri Mokhtar yang menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN untuk membuat penstrukturan semula. “Surat rasmi saya akan serah kepada pengerusi PN baharu dalam masa terdekat. “Saya sedia memberi kerjasaman kepada PN Melaka untuk bersama-sama memberi tawaran terbaik bagi negeri itu,” katanya. Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata beliau juga menghormati dan sedia memberi kerjasama kepada individu baharu bakal dilantik pucuk pimpinan PN. “Saya sedia beri kerjasama kepada pemimpin pengganti dari mana-mana parti dalam PN termasuk PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP yang dipilih pucuk pimpinan nanti,”katanya. Pada 19 Feb lalu, Mas Ermieyati mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah bersama 39 lagi ahli jawatankuasa bahagian terbabit. Untuk rekod sehingga kini beliau masih mengalas jawatan ketua wanita PN pusat.

Share this post: