Mangsa banjir Sabah meningkat 5,532 orang
2026-02-27 - 01:54
Tenom menjadi kawasan paling teruk terjejas dalam bencana banjir di Sabah apabila 3,149 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. (Gambar APM Sabah) KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di lima daerah di Sabah meningkat kepada 5,532 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 4,650 orang semalam. Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan bahawa semua mangsa daripada 1,943 keluarga itu kini ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Rabu lepas. Beaufort mencatat peningkatan jumlah mangsa kepada 1,456 orang daripada 510 keluarga berbanding 1,432 orang semalam dengan penambahan satu PPS baharu, iaitu Dewan Kesenian dan Kebudayaan Bisaya. Penambahan itu menjadikan keseluruhan lima PPS dibuka di Beaufort termasuk Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon. Di Tenom, jumlah mangsa kekal tertinggi, iaitu 3,149 orang daripada 1,063 keluarga, berbanding 2,406 orang (795 keluarga) malam tadi. Sementara itu, dua daerah lain tidak menunjukkan perubahan jumlah mangsa, iaitu Sipitang dengan 421 orang (176 keluarga), Sook sebanyak 79 mangsa (25 keluarga), manakala Membakut bertambah kepada 427 orang (169 keluarga). Secara keseluruhan, jumlah kawasan terjejas akibat banjir di kelima-lima daerah berkenaan kekal sebanyak 146 kampung. Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa terkorban dilaporkan.