Mampukah politik Malaysia satukan negara ketika dunia semakin berpecah?
2026-03-14 - 04:04
Ada satu perkara yang semakin jelas melalui perbincangan saya dengan pelbagai pelabur global, ahli perniagaan dan pembuat dasar dari pelbagai negara — iaitu dunia hari ini terasa jauh lebih berisiko dan tidak menentu, berbanding beberapa tahun lalu yang juga penuh dengan pelbagai pergolakan. Konflik di Timur Tengah kembali memuncak. Pada masa yang sama, dunia sedang menghadapi perubahan besar dalam perdagangan global, dengan rantaian bekalan yang semakin rumit, serta pertumbuhan ekonomi yang agak rapuh akibat persaingan kuasa besar global. Kini, isu keterjaminan tenaga pula menambah tekanan kepada ekonomi global dan turut menyumbang kepada kenaikan inflasi, tatkala dunia berhadapan dengan landskap geopolitik yang semakin berpecah-belah. Justeru, kerajaan dan juga sektor perniagaan perlu menilai semula keutamaan mereka. Bagi sebuah ekonomi terbuka dan berasaskan perdagangan seperti Malaysia, perubahan global ini boleh memberi kesan yang serius. Namun, melalui perbincangan yang sama, satu perkara sering disebut: dalam ketidaktentuan, aset paling berharga bagi sesebuah negara ialah kepercayaan—kepercayaan terhadap nilai yang dipegang dan terhadap hala tuju dasar negara. Setakat ini, saya percaya rakyat masih ada keyakinan terhadap keupayaan rakyat Malaysia sendiri; terhadap hala tuju strategik negara serta kepada institusi kita yang kebanyakannya masih kukuh dan boleh dipercayai. Kepercayaan ini membuahkan keyakinan, yang seterusnya membina daya tahan negara, menarik pelaburan serta bakat, dan memperkukuh hubungan diplomatik. Hakikatnya, politik Malaysia hari ini bukan satu medan perdebatan dasar atau ideologi, tetapi telah menjadi medan pertempuran naratif, di mana mereka yang cekap membentuk persepsi akan menguasai pemikiran rakyat. Politik seharusnya fokus kepada tujuan yang lebih mulia—iaitu memperkasa rakyat dan mengukuhkan asas kekuatan negara. Rakyat dambakan kemakmuran Sepanjang saya berurusan dengan usahawan, pelajar, pekerja dan pemimpin masyarakat di seluruh negara, harapan mereka sebenarnya cukup mudah: mereka inginkan kepimpinan yang mempunyai hala tuju jelas, pertimbangan yang matang serta penyelesaian yang berimpak positif. Mereka mahukan politik yang memacu kemajuan negara, bukan ‘politik pertelingkahan’ yang tidak berkesudahan. Demokrasi sememangnya melibatkan perbezaan pandangan. Namun apabila politik dibayangi kepentingan sempit, polemik berterusan atau retorik yang memecahbelahkan, yang paling terhakis ialah kepercayaan rakyat—sedangkan kepercayaan itulah asas utama ketahanan sesebuah negara. Tanpa kepercayaan, dasar yang baik pun mudah dipandang sinis, dan reformasi yang diperlukan menjadi jauh lebih sukar untuk dilaksanakan. Sebab itulah politik hari ini memerlukan keberanian—keberanian untuk bercakap secara jujur kepada rakyat; membuat keputusan sukar walaupun tidak popular demi masa depan negara; serta keberanian menolak politik yang memecahbelahkan demi keuntungan jangka pendek. Politik seharusnya melindungi rakyat, bukannya mengancam kelangsungan hidup mereka. Ia juga perlu lebih saksama dalam menyediakan peluang agar rakyat mampu mengecapi kemakmuran hidup dan memupuk harapan terhadap masa depan yang lebih sejahtera. Pada masa yang sama, politik perlu kekal terbuka dan menggalakkan persaingan sihat antara parti politik dari segi idea, dasar dan visi memajukan negara. Inilah ciri demokrasi yang matang—dan inilah juga yang sepatutnya diusahakan sebagai sebuah negara. Dalam demokrasi matang, rakyat lebih cenderung untuk memilih ahli politik yang menawarkan hala tuju jelas untuk Malaysia, dan bukannya ‘tong tong kosong’ yang lantang bersuara. Pemimpin bertanggungjawab memelihara keharmonian Pemilihan sebegini lebih penting kerana Malaysia merupakan sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama. Namun perpaduan memerlukan usaha, kepimpinan dan komitmen terhadap nilai yang kita kongsi bersama, seperti nilai-nilai Rukun Negara yang lahir daripada peristiwa tragis tahun 1969. Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk memelihara keharmonian ini. Pemimpin pula perlu memainkan peranan membina jambatan antara komuniti agar ‘politik pecahbelah’ tidak berakar dalam masyarakat kita. Kepelbagaian masyarakat Malaysia sebenarnya satu rahmat. Alhamdulillah, saya sendiri berpeluang menjiwainya sejak kecil. Semasa menuntut di Bukit Bintang Boys School yang berbilang kaum, saya dan rakan-rakan sekolah belajar bersama, bersukan bersama dan saling kunjung-mengunjung ke rumah masing-masing. Rakan rakan sepasukan hoki saya bernama Ganadevan dan Yung Shang. Di setiap bank dalam kerjaya saya, tenaga kerjanya juga terdiri daripada pelbagai kaum, suatu bentuk kepelbagaian yang amat dihargai oleh banyak syarikat multinasional. Sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ternyata rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang bersatu menyokong pemain seperti Pearly Tan dan M Thinaah, atau Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin serta rakan sepasukan mereka yang mewakili negara. Tiada siapa yang sibuk bertanya apakah bangsa atau agama mereka. Kita juga berasa bangga apabila atlet negara berjuang meraih pingat emas dalam kejohanan seperti Sukan SEA atau temasya Paralimpik. Semasa saya berkhidmat sebagai Menteri Kabinet, para Menteri yang terdiri daripada pelbagai kaum juga merupakan satu kelebihan besar dalam menjayakan kerjasama dengan pelbagai negara. Saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia berkongsi pandangan yang sama, menghargai identiti masing-masing serta agenda Bumiputera. Hakikatnya, kita jauh lebih bersatu berbanding gambaran masyarakat berpecah belah yang cuba dibentuk oleh segelintir pihak demi kepentingan politik. Perpaduan asas kekuatan ekonomi Kestabilan sosial dan politik juga merupakan asas penting kepada kekuatan ekonomi sesebuah negara. Selain angka-angka ekonomi, pelabur juga lebih yakin dengan negara yang aman, inklusif dan stabil bagi pelaburan jangka panjang mereka. Kita perlu ingat bahawa Malaysia mempunyai banyak kelebihan— kedudukan geografi yang strategik, ekosistem perindustrian yang berkembang pesat serta tenaga kerja yang berbakat dan pelbagai. Namun manfaatnya hanya boleh diraih sepenuhnya jika kita mengekalkan kematangan politik dan perpaduan nasional. Dalam usaha memperkukuh ekonomi, menjana pekerjaan berkualiti dan memastikan kemakmuran yang saksama, pemimpin juga perlu mentadbir secara bertanggungjawab—sama ada terhadap penyokong mereka, mahupun pihak yang berbeza pandangan. Masa depan Malaysia bergantung kepada perpaduannya Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan. Kerajaan perlu menyediakan dasar yang jelas dan inklusif; sektor swasta perlu terus memacu inovasi dan pertumbuhan; golongan muda perlu menyumbang idea baharu; manakala masyarakat pula perlu terus memupuk semangat saling menghormati yang menjadi asas keharmonian negara. Pendekatan senegara ini akan memastikan Malaysia bukan sahaja berdaya tahan, malah lebih kukuh sebagai negara yang stabil dan kompetitif dalam ekonomi global. Saya juga berasa bertuah kerana kestabilan politik yang dinikmati sejak Disember 2022 membolehkan kita memperkukuh daya tahan yang amat penting dalam menangani ketidaktentuan global masa kini. Buat masa ini, ketegangan di Timur Tengah telah menggugat pasaran minyak dunia. Ini berpotensi menaikkan harga barang dan menyebabkan inflasi yang boleh menjejaskan unjuran pertumbuhan ekonomi pelbagai negara, termasuk Malaysia. Ekonomi dan kehidupan rakyat bakal terkesan oleh cabaran global sebegini. Justeru, pemimpin Malaysia tidak sepatutnya terperangkap dalam politik kepartian yang mementingkan kepentingan masing-masing. Apa yang kita perlukan sekarang ialah politik yang berani—politik yang berasaskan keupayaan kita untuk sama-sama membina daya tahan dalam menghadapi cabaran global dan membina masa depan yang lebih baik untuk anak cucu kita. Tengku Zafrul Aziz ialah penasihat kanan politik kepada perdana menteri. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.