Malaysiakini lapor polis dana RM3 juta dialihkan
2026-03-05 - 10:04
Mkini Group Sdn Bhd berkata pengalihan dana itu tidak menjejaskan operasi teras Malaysiakini. PETALING JAYA: Lembaga pengarah Mkini Group Sdn Bhd membuat laporan polis selepas mendapati wang sebanyak RM3 juta daripada anak syarikatnya telah dialihkan ke entiti pihak ketiga yang disyaki menjalankan skim pelaburan tidak berlesen. Dalam satu kenyataan, Mkini Group yang mengendalikan Malaysiakini berkata dana itu dialihkan antara Mac 2023 dan Mac 2024 namun tidak dikesan sehingga baru-baru ini kerana akaun syarikat yang diaudit mendakwa wang itu ditempatkan dalam simpanan tetap di sebuah bank berlesen. Katanya, pengalihan dana tersebut ‘dimungkinkan’ oleh bekas kakitangan kanan Malaysiakini. Mkini Group memaklumkan bahawa langkah-langkah pemulihan aktif kini sedang dijalankan. Pengasas bersama, Steven Gan dan Premesh Chandran, yang berkhidmat sebagai pengarah bukan eksekutif Mkini Group, meluahkan rasa amat kecewa dan kesal dengan tindakan itu. “Kami sangat kecewa dengan tindakan tanpa kebenaran ini,” kata Gan, yang juga bekas ketua editor. “Dikhianati oleh beberapa kakitangan yang paling kami percayai adalah satu tamparan hebat. Kami bertekad untuk mendapatkan semula dana tersebut dan memperketat seliaan bagi mengelakkan sebarang kejadian berulang.” Premesh yang juga bekas CEO berkata walaupun pengalihan dana itu menjejaskan kewangan syarikat, operasi teras Malaysiakini tetap tidak terganggu. “Pengalihan dana ini – yang dilakukan oleh bekas rakan sejawat – sangat menjejaskan daya tahan kami, dan mengganggu misi kami untuk menyuarakan kebenaran,” katanya.