Malaysia wajar terlibat usaha keamanan di Timur Tengah, kata Saifuddin
2026-03-25 - 13:10
Saifuddin Abdullah seru kerajaan melihat krisis di Timur Tengah sebagai ‘perang haram’ oleh Amerika Syarikat dan Israel, bukannya sekadar ‘konflik’. PETALING JAYA: Malaysia yang sebelum ini berperanan sebagai pengantara dalam menyelesaikan konflik antarabangsa wajar turut memainkan peranan dalam membawa keamanan ke Timur Tengah, kata bekas menteri luar Saifuddin Abdullah. “Adalah wajar bagi kerajaan untuk terus memainkan peranan sebagai pengantara dan membawa hasil yang positif,” kata Saifuddin dalam kenyataan, merujuk kepada perang di Timur Tengah. Beliau mengulas inisiatif Menteri Luar Mohamad Hasan yang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Iran, Seyed Abbas Araghchi, mengenai keperluan gencatan senjata segera di Timur Tengah. Terdahulu, Mohamad berkata perbualan telefon mereka semalam menumpukan kepada ketegangan yang meningkat di rantau itu. Selain itu kepentingan menjaga laluan laut utama seperti Selat Hormuz untuk memastikan kestabilan ekonomi dan tenaga global. Saifuddin turut menyeru kerajaan melihat krisis di Timur Tengah sebagai ‘perang haram’ oleh Amerika Syarikat dan Israel, bukannya sekadar ‘konflik’, serta mengakui hak Iran untuk mempertahankan diri dan melancarkan serangan balas. Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga menekankan supaya usaha tidak hanya berhenti pada gencatan senjata, tetapi untuk menamatkan perang sepenuhnya. Menurut Saifuddin, seharusnya turut menghidupkan semula idea hidup berdampingan secara aman antara Iran dan negara jirannya. “Saya berharap kerajaan juga akan menghubungi negara-negara lain yang aktif menggunakan saluran diplomatik untuk menamatkan perang, termasuk Pakistan, Turki dan Qatar,” katanya. Pada Julai tahun lalu, Malaysia bersama AS dan China berjaya menjadi perantara gencatan senjata untuk menghentikan pertembungan maut antara Kemboja dan Thailand, walaupun gencatan itu hanya bertahan seketika. Sebelum ini, Malaysia juga pernah bertindak sebagai pengantara untuk konflik di rantau ini, termasuk di Acheh, selatan Thailand dan selatan Filipina.