Malaysia teroka semua saluran pastikan bekalan petrol, diesel cukup
2026-03-27 - 08:31
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kerajaan cari jalan untuk memenuhi keperluan tempatan, susulan krisis tenaga. SHAH ALAM: Kerajaan akan meneroka semua saluran bagi memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi, untuk memastikan ia terus dapat dinikmati rakyat sepanjang krisis tenaga global. Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memanfaatkan semua sumber dan kepakaran untuk kenalpasti sumber alternatif, seperti Brazil dan Kanada, dalam mendepani krisis yang tercetus lantaran konflik berlarutan di Asia Barat. Beliau menarik perhatian kepada pelaburan Petronas di luar negara Teluk, dan berkata “kita cari jalan supaya dapat pulangan dan hasil di sini dan memenuhi keperluan tempatan.” Sementara itu, Anwar berkata bekalan minyak negara masih dapat dijamin sehingga Mei. “Kita syukur masalah kita hadapi tak serumit dihadapi negara jiran, belum ada catuan, belum ada kenaikan mendadak, RON95 kekal.” Perdana menteri berkata demikian kepada pemberita seusai solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah. Semalam, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Iran kerana membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz, susulan usaha kerajaan melepaskan kapal dan pekerja supaya dapat meneruskan perjalanan pulang. Katanya dalam perutusan khas, sekatan di Selat Hormuz serta gangguan bekalan minyak dan gas global berpotensi memberi impak kepada Malaysia, namun negara dalam kedudukan lebih baik hasil keupayaan Petronas menguruskan bekalan dan kestabilan tenaga.