TheMalaysiaTime

Malaysia teratas dalam domain penulisan SEA-PLM 2024

2026-03-26 - 09:21

Pentaksiran SEA-PLM melibatkan 4,379 murid Tahun 5 dari 158 sekolah seluruh negara. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam domain penulisan bagi Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024, yang dinobatkan di tangga teratas Asia Tenggara. Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata mengikut keputusan diumumkan di Phnom Penh, Kemboja, skor purata murid dalam penulisan ialah 480.1 mata, 29.2 mata lebih tinggi daripada purata serantau. Menurutnya, sebanya 21% murid Malaysia berada pada band pencapaian tertinggi iaitu Band 5 ke atas, berbanding purata serantau sebanyak 5%. “Pencapaian ini menunjukkan tahap pemikiran kritis murid yang merangkumi kandungan, konteks serta proses penyampaian idea dalam penulisan. “Bagaimanapun jurang pencapaian antara kumpulan sosioekonomi, jantina serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah masih wujud yang menjadi cabaran utama dalam memastikan pendidikan yang lebih saksama,” katanya. Pentaksiran SEA-PLM melibatkan 4,379 murid Tahun 5 dari 158 sekolah seluruh negara, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama bantuan kerajaan serta sekolah swasta. SEA-PLM mengukur pencapaian murid Tahun 5 dalam empat domain utama iaitu bacaan, matematik, penulisan dan kewarganegaraan global.

Share this post: