TheMalaysiaTime

Malaysia perlu percepat peralihan tenaga, kata menteri

2026-03-15 - 07:03

Penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar membolehkan Malaysia menjana tenaga secara berterusan selagi sumber semula jadi tersedia. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Malaysia perlu mempercepat peralihan tenaga mengikut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) seperti solar dan hidro bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama. Akmal Nasrullah Nasir. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir, berkata pelan peralihan tenaga itu bukan sahaja untuk mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil malah juga memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga domestik. “Tenaga boleh baharu (TBB) mempunyai kelebihan kerana bersifat domestik justeru, tidak bergantung dari segi import bahan bakar dan tidak terganggu dari sudut rantaian bekalan tenaga secara keseluruhan,” katanya menurut Bernama. Beliau ditemui selepas menghadiri program Jualan Rahmah Kasih Sayang di Johor Bahru, hari ini. Akmal mengulas saranan ahli akademik mengenai keperluan negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama susulan konflik Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak global dan mengakibatkan kenaikan harga. Beliau berkata, Malaysia kini mempunyai kira-kira 25% kapasiti terpasang daripada sumber boleh baharu dan sedikit daya tahan terhadap sebarang gangguan bekalan tenaga. Kerajaan sentiasa menilai langkah untuk mempercepat proses peralihan tenaga selari saranan pakar ekonomi dan akademik bagi memastikan negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global. Katanya, penggunaan TBB seperti solar, membolehkan Malaysia menjana tenaga secara berterusan selagi sumber semula jadi tersedia, sekali gus menyokong sasaran pelepasan sifar karbon dan kelestarian tenaga negara. Konflik di Asia Barat kekal memuncak sejak 28 Feb lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran yang kemudian mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk. Selat Hormuz yang terletak antara Iran dan Oman merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia bagi penghantaran minyak dan gas dengan sebahagian besar bekalan tenaga global melalui kawasan itu setiap hari.

Share this post: