Malaysia mula evakuasi rakyat terkandas di Timur Tengah
2026-03-10 - 10:44
Sebuah pesawat sewaan khas Malaysia Airlines berlepas ke Jeddah, Arab Saudi, hari ini untuk membawa pulang kira-kira 200 pelajar, pengembara dan jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Timur Tengah. PETALING JAYA: Malaysia telah menghantar sebuah pesawat sewaan khas Malaysia Airlines ke Jeddah, Arab Saudi untuk membawa pulang sekumpulan rakyat yang terkandas susulan konflik di Timur Tengah. Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.10 petang tadi dan dijadualkan tiba di Jeddah pada 8.50 malam, menurut Bernama Jumlah penumpang bagi misi pertama Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia itu dianggarkan sekitar 200 orang yang terdiri daripada pelajar, pengembara serta jemaah umrah yang terkandas di beberapa lokasi termasuk Syria, Jordan dan Qatar. Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelaras operasi itu dengan kerjasama rapat Kementerian Luar melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan. Ketegangan di Timur Tengah meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.