Malaysia komited bantu Palestin walau tak sertai Lembaga Keamanan
2026-02-26 - 07:04
Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan berkata Malaysia sentiasa sedia menghulurkan bantuan dalam apa juga cara bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel. (Gambar EPA Images) KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkukuh peranannya dalam membantu rakyat Palestin di Gaza meskipun tidak menganggotai Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, berkata Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dalam apa juga cara bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel, termasuk melalui penyaluran bantuan kemanusiaan, sokongan diplomatik serta kerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa. “Walaupun kita tidak menyertai Board of Peace dalam keadaan sekarang, tetapi peranan Malaysia membantu penderitaan rakyat Palestin di Gaza akan kita teruskan dalam apa jua cara untuk kita bersama dengan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara. Beliau menjawab pertanyaan tambahan Senator Pele Peter Tinggom berhubung pendirian Malaysia terhadap penubuhan Lembaga Keamanan serta langkah kerajaan dalam memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin terus disalurkan secara berkesan. Mengulas soalan tambahan isu penyelewengan derma untuk Gaza oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagaimana disuarakan Senator Hatta Md Ramli, Mohamad mengakui ada laporan media berhubung perkara itu membabitkan penyelewengan dana sumbangan rakyat Malaysia. Bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan ketirisan, beliau berkata, Kementerian Luar Negeri (KLN) telah menubuhkan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin. “Kita mahu supaya kita sendiri yang menguruskan (dana). Kita mempunyai trustee (pemegang amanah) yang terdiri daripada ketua setiausaha, timbalan ketua setiausaha dan pegawai kewangan kementerian. “Akaun ini juga dibentangkan kepada Kabinet secara berkala dan diaudit bagi memastikan setiap sumbangan diurus dengan baik.” Katanya, KLN turut menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang terbukti mempunyai rekod prestasi telus dalam misi bantuan mereka. Beliau turut menekankan kepentingan bantuan segera dalam bentuk makanan dan barangan keperluan asas memandangkan situasi di pintu sempadan Rafah mencabar serta faktor cuaca melanda wilayah itu.