Malaysia, EU antara negara disiasat AS atas lebihan kapasiti pengeluaran
2026-03-12 - 02:14
Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer berkata siasatan itu akan menentukan sama ada tindakan, dasar dan amalan berkenaan tidak munasabah atau diskriminatif, serta membebankan atau menyekat perdagangan AS. (Gambar EPA Images) KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memulakan siasatan terhadap tindakan, dasar dan amalan ke atas 15 negara, termasuk Malaysia serta Kesatuan Eropah (EU) di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan kapasiti berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor perkilangan. Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer, berkata siasatan itu akan menentukan sama ada tindakan, dasar dan amalan berkenaan tidak munasabah atau diskriminatif, serta membebankan atau menyekat perdagangan AS. “Negara yang tertakluk kepada siasatan ini ialah China, EU, Singapura, Switzerland, Norway, Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand, Korea, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Washington pada Rabu. Menurutnya, usaha perindustrian semula di bawah pentadbiran Presiden AS, Donald Trump terus menghadapi cabaran ketara. Selepas memulakan siasatan, USTR mesti mengadakan rundingan dengan negara sedang disiasat. Justeru, Greer meminta rundingan diadakan dengan EU dan kerajaan 15 negara terbabit. Penyata ulasan (docket) berkaitan siasatan itu akan dibuka 17 Mac ini.