Malaysia berdepan tindakan perdagangan AS jika langgar Seksyen 301
2026-03-14 - 09:23
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani berkata antara perkara diteliti ialah sama ada sesebuah negara eksport produk ke AS pada harga terlalu rendah banding di pasaran domestik sehingga menjejaskan industri negara itu. PETALING JAYA: Malaysia berdepan kemungkinan dikenakan tindakan perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS) jika siasatan bawah Seksyen 301 mendapati berlaku pelanggaran peraturan perdagangan antarabangsa. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani, berkata AS menggunakan Seksyen 122 bawah Akta Perdagangan negara itu yang membolehkan tarif sementara sebanyak 10% dikenakan. Katanya, langkah itu hanya boleh dilaksanakan dalam tempoh kira-kira lima bulan, sebelum siasatan lanjut dijalankan terhadap hampir 60 negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS termasuk Malaysia. “Siasatan di bawah Seksyen 301 akan meneliti beberapa aspek termasuk kemungkinan lambakan harga eksport, pematuhan piawaian buruh antarabangsa, penjagaan alam sekitar serta pemberian subsidi kerajaan,” katanya menurut Berita Harian. Johari berkata, antara perkara diteliti adalah sama ada sesebuah negara mengeksport produk ke AS pada harga terlalu rendah berbanding harga di pasaran domestik sehingga menjejaskan industri negara itu. Selain itu, syarikat yang mengeksport ke negara berkenaan juga perlu mematuhi piawaian buruh antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) termasuk memastikan tiada penggunaan buruh paksa. “Jadi, dia bukan saja menyiasat untuk Malaysia tetapi dia menyiasat kepada 60 negara. Jadi, kita sebagai sebuah negara yang nak berdagang dengan AS dan mempunyai niai eksport RM233 bilion setahun sudah tentu kita kena patuh. “Mana-mana syarikat kita yang mengeksport ke AS, perlu pastikan dia patuh dengan syarat-syarat itu,” katanya. Semalam, Johari memaklumkan Malaysia akan memberi penjelasan kepada AS berhubung dakwaan lebihan kapasiti pengeluaran dan penggunaan buruh paksa, yang menjadi antara isu dalam siasatan bawah Seksyen 301 negara itu.