TheMalaysiaTime

Malaysia belum sedia bersaing dengan gergasi hoki, kata Sarjit

2026-03-28 - 23:21

Sarjit Singh membimbing pemain ketika sesi latihan, sambil mengetengahkan cabaran dalam membina kedalaman skuad dan mempersiapkan pasukan untuk bersaing di peringkat tertinggi. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Di sebalik kontroversi kontrak tidak disambung, Sarjit Singh berterus-terang mengenai isu lebih besar. Malaysia tumpas bukan disebabkan seorang jurulatih. Speedy Tigers kalah kerana mereka belum bersedia. “Kita perlukan lebih ramai pemain,” kata Sarjit, yang baru-baru khidmatnya tidak disambung sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan. “Bukan sekadar panggilan jangka pendek, tetapi satu sistem yang menghasilkan kualiti secukupnya untuk bersaing di peringkat tertinggi. “Kita perlu dua pasukan.” Bukan sekadar 26 atau 30 pemain yang bergilir beraksi, bahkan barisan kedua tulen yang mampu mencabar barisan utama. “Ketika ini kita tidak ada,” katanya. “Tiada barisan pelapis.” Katanya, kekurangan kedalaman skuad itu menjejaskan segala-galanya: intensiti, pemulihan, membuat keputusan, dan akhirnya menjurus keputusan perlawanan. “Apabila tidak mempunyai pilihan, anda terpaksa bergantung kepada pemain sama sahaja,” katanya. Presiden MHC Subahan Kamal memetik kedudukan ranking dunia sebagai faktor utama dalam perubahan kejurulatihan. Teras makin menua, tiada pengganti Kebergantungan semasa menimbulkan satu lagi masalah: tunjang pasukan yang semakin berusia. Pemain-pemain senior dengan beberapa lagi daripada mereka sudah mencapai pertengahan usia 30-an, terus memikul tanggungjawab pasukan. “Ia adalah pilihan saya untuk menggunakan pemain berpengalaman,” kata Sarjit. “Kita perlu kestabilan.” Namun, kestabilan dimaksudkan ada harganya. “Anda tidak boleh campak pemain muda begitu sahaja ke arena hoki antarabangsa,” katanya. “Mereka memerlukan masa.” “Masalahnya, bukannya kerana pemain veteran masih bermain. Tetapi, pengganti mereka masih belum bersedia.” Kalah besar bukan kebetulan Kekalahan 7-1 kepada England pada kelayakan Piala Dunia di Mesir cukup memeritkan. Namun, ia bukanlah perkara baharu. Malaysia juga pernah tewas 10-1 kepada Jerman pada 2024 semasa siri jelajah Eropah, 9-1 kepada Belgium di Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu, dan mengalami beberapa lagi kekalahan besar menentang negara elit. Ini bukan sekadar ‘hari tidak baik’. Malah, satu bentuk corak. Sarjit berkata, beliau sengaja mencari lawan lebih kuat untuk menguji tahap kemampuan pasukan. “Saya mahu bermain menentang Jerman, Belanda, Belgium, dan India. Kita perlu tahu di mana kedudukan kita,” katanya. Apa yang didedahkan dalam aksi tersebut menjadi sesuatu yang pahit untuk diterima. “Jurang yang semakin melebar.” Malaysia (berjersi biru) beraksi menentang Pakistan pada pusingan kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir, di mana skuad Speedy Tigers melayakkan diri namun bergelut menentang lawan di tahap tertinggi. (Gambar Konfederasi Hoki Malaysia) Aksi dalam tekanan Meskipun ada ketikanya Malaysia mempamerkan saingan sengit, skuad negara dilihat sering bergelut. “Lemah pada minit-minit terakhir, terutamanya pada lima minit terakhir perlawanan, terus menghantui pasukan,” akui Sarjit. “Bagi saya, ia adalah mengenai cara pemain membuat keputusan,” katanya. “Di bawah tekanan, kesilapan pasti berlaku.” Beliau merujuk kepada perlawanan di mana Malaysia mendahului, namun gagal menamatkan saingan dengan kemenangan. “Kita ada peluang. Namun, kita tidak manfaatkannya.” Kelemahan terus kekal Sarjit turut mengutarakan beberapa aspek khusus yang membimbangkan. Katanya, posisi penjaga gol tidak konsisten, terutamanya dalam aspek membuat keputusan. Kadar penyempurnaan pukulan sudut penalti juga kekal di bawah piawaian pasukan elit. “Di Mesir, kita mendapat 31 pukulan sudut penalti. Kita hanya menjaringkan lapan gol,” katanya. “Pada tahap itu, jumlah berkenaan tidak cukup. Ini bukannya isu kecil. Ia adalah penentu keputusan perlawanan.” Pandang ke luar untuk penyelesaian Sarjit menekankan bagaimana pasukan negara lain yang sedang membangun bergerak lebih pantas. Beliau memetik prestasi Chile dalam satu lagi pusingan kelayakan Piala Dunia, di mana pasukan tuan rumah itu memberikan saingan sengit kepada pasukan yang lebih kuat dan menunjukkan peningkatan ketara. “Argentina sedang membantu mereka. Pasukan kebangsaan mereka bekerjasama,” katanya. Bagi Malaysia, peluang berkenaan sebenarnya lebih dekat dengan kita. “Kita hanya empat jam setengah dari Perth,” katanya, merujuk kepada sistem prestasi tinggi Australia. “Jika kita boleh bekerjasama dengan mereka, kita akan dapat melihat hala tuju yang baharu.” Tanpa kerjasama sedemikian, beliau memberi amaran Malaysia berisiko terus ketinggalan jauh di belakang. Tekanan sistem Sarjit bagaimanapun tidak secara langsung mengkritik Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). Namun, penilaiannya menunjukkan adanya isu yang lebih berakar. Satu sistem yang bergelut untuk melahirkan pemain. Bergelut membina kedalaman skuad termasuk bergelut untuk mengejar pesaing. “Saya tidak menyalahkan sesiapa,” katanya. “Tetapi, kita perlukan lebih ramai pemain. Kita mahukan kualiti.” Realiti Piala Dunia Menjelang Piala Dunia yang semakin dekat, jangkaan ke atas skuad negara mestilah realistik. “Ia akan menjadi tugas sukar,” kata Sarjit. Malaysia sekali lagi akan berdepan lawan di tahap tertinggi, dengan Jerman, Belgium, dan Perancis berada dalam kumpulan yang sama di peringkat awal. Unjuran beliau hanyalah sederhana. “Mungkin tempat ke-11, ke-12, atau ke-13 — itu sudah dianggap keputusan yang baik.” Ia bukanlah mengenai cita-cita melambung tinggi. Ia adalah realiti. Melangkaui seorang jurulatih Sarjit menegaskan isu yang berlaku adalah lebih besar daripada dirinya. “Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemain. Mereka sudah bekerja keras,” katanya. Namun, tanpa perubahan struktur, beliau percaya hasilnya akan tetap sama. Jurulatih yang berbeza. Tahap kemampuan yang sama. Dan ketika Malaysia menuju ke Piala Dunia, persoalannya bukan lagi sekadar mengenai keputusan perlawanan. Ia mengenai sama ada sistem yang ada mampu untuk mengubah keputusan.

Share this post: