TheMalaysiaTime

Majlis Peguam tak boleh ambil tindakan terhadap peguam palsu

2026-02-24 - 23:43

Majlis Peguam mengawal selia Badan Peguam, yang dianggotai kira-kira 24,000 peguam di Semenanjung Malaysia. PETALING JAYA: Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 (LPA) untuk mengambil tindakan penguatkuasaaan terhadap peguam atau firma palsu yang melakukan kesalahan jenayah, sebaliknya hanya boleh membuat laporan polis berdasarkan aduan yang diterima, kata bekas pengerusinya. Salim Bashir menjelaskan Majlis Peguam, yang mengawal selia Badan Peguam dianggotai kira-kira 24,000 peguam di Semenanjung Malaysia, hanya boleh mengambil tindakan terhadap ahli yang terus mewakili klien tanpa memperbaharui sijil amalan tahunan mereka. Kes sebegini biasanya dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara atau diselesaikan melalui tindakan pentadbiran. Salim berkata, pihak polis boleh menyiasat kesalahan yang disyaki, termasuk individu tidak sah yang menyamar sebagai peguam di bawah Seksyen 37 LPA, atau kesalahan menyamar di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan. Salim Bashir. Beliau turut mengambil maklum mengenai peningkatan trend individu tidak bertauliah, termasuk peguam palsu serta peguam yang telah digantung atau dilucutkan kelayakan, tampil mewakili anak guam di mahkamah. Beliau mengulas sedemikian susulan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang membatalkan sabitan kes pengedaran dadah serta hukuman penjara seorang tertuduh, selepas mendapati dia diwakili peguam palsu ketika perbicaraan. Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Azmi Ariffin membenarkan tertuduh, Zarif Noor Ajala, dibicarakan semula kerana dia tidak diwakili oleh peguam secara sah. Mahkamah dimaklumkan, individu yang tampil sebagai peguam Zarif telah didakwa, disabitkan kesalahan dan didenda tahun lepas atas tiga tuduhan, termasuk satu kesalahan di bawah LPA. Zarif didakwa mengedar 768.9g methamphetamine di sebuah restoran makanan segera di Nilai, Negeri Sembilan pada 18 Sept 2018. Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Seremban tiga tahun lepas dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun serta 12 sebatan. Kitson Foong. Peguam Kitson Foong berkata, setiap tertuduh berhak diwakili oleh peguam pilihan mereka, namun malangnya, tertuduh dalam kes ini telah ditipu. Menurutnya, peguam negara, di bawah Perkara 145(3) dan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah, mempunyai budi bicara mutlak dalam pengendalian prosiding dan boleh menggugurkan tuduhan terhadap Zarif jika perbicaraan semula tidak lagi memberi manfaat kepada kepentingan awam. “Sebagai alternatif, Zarif boleh mengemukakan representasi untuk mengurangkan tuduhan pengedaran kepada memiliki dadah,” katanya, sambil menyatakan bahawa tertuduh telah ditahan reman selama lapan tahun memandangkan mereka yang dituduh atas kesalahan sedemikian tidak dibenarkan diikat jamin. Foong berkata, Zarif mungkin dibebaskan sepenuhnya setelah mengambil kira pengiraan hukuman bertarikh ke belakang serta remisi standard satu pertiga atas kelakuan baik. Menurut peguam kanan itu, jika perbicaraan semula diperintahkan, semua ekshibit perlu dikemukakan semula dan saksi-saksi mesti dipanggil balik untuk memberikan keterangan yang sama. “Saksi-saksi perlu mengulangi keterangan yang telah diberikan, dan jika gagal, mereka terdedah kepada dakwaan memberi keterangan palsu,” katanya. Razlan Hadri Zulkifli. Peguam Razlan Hadri Zulkifli pula berkata, Zarif boleh memfailkan saman terhadap peguam palsu itu kerana mewakilinya dalam perbicaraan jenayah tersebut. “Mungkin terdapat kausa tindakan atas salah nyata dan penipuan,” kata peguam itu, menambah bahawa pampasan boleh berbentuk ganti rugi am dan khas. Razlan berkata, saman untuk penipuan mesti difailkan dalam tempoh had masa enam tahun, yang dikira dari tarikh tort tersebut diketahui.

Share this post: