Majlis Peguam bincang larangan ahli politik dilantik peguam negara
2026-03-13 - 22:54
Majlis Peguam akan mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini. PETALING JAYA: Mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam hari ini dijangka membincangkan usul menggesa anggota Kabinet dan Ahli Parlimen tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam negara. Usul itu yang dicadangkan Presien Ezri Abdul Wahab bagi pihak Majlis Peguam, difahamkan antara 11 usul akan dibentangkan. Dalam usul itu, Majlis Peguam bimbang kemungkinan ‘kawalan eksekutif berlebihan’ yang mungkin timbul daripada pemisahan jawatan peguam negara dan timbalan pendakwa raya yang dicadangkan. “Majlis Peguam menyatakan kebimbangan rang undang-undang itu tidak menghalang pelantikan peguam negara dari kalangan Ahli Parlimen atau anggota Kabinet,” katanya. Ezri menambah walaupun majlis bersetuju jawatan peguam negara harus tertakluk kepada pengawasan Parlimen, Ahli Parlimen atau menteri tidak seharusnya memegang jawatan itu bagi memastikan tahap kebebasan yang maksimum. Usul itu juga menekankan kebimbangan Majlis Peguam bahawa peguam negara— yang juga ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang (JLSC) boleh mempengaruhi pencalonan jawatan timbalan pendakwa raya, yang berpotensi menjejaskan kebebasan. Majlis Peguam menyatakan bahawa keadaan itu melemahkan reformasi undang-undang dan tujuan pemisahan kuasa yang dimaksudkan. “Lebih membimbangkan, bukannya melantik suruhanjaya bebas atau Parlimen sendiri untuk bertanggungjawab melantik timbalan pendakwa raya di bawah rang undang-undang ini, tanggungjawab itu diletakkan kepada Yang di-Pertuan Agong berdasarkan cadangan JLSC, tanpa sebarang pengawasan atau akauntabiliti Parlimen. “Untuk perubahan yang bermakna, pelantikan dan penyingkiran mereka mesti dilakukan oleh jawatankuasa pemilihan bebas atau suruhanjaya bebas yang akhirnya bertanggungjawab kepada Parlimen,” menurut usul tersebut. Pada 3 Mac, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan)(No. 2) 2026 dibentangkan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat. Rang undang-undang itu kemudian dirujuk kepada jawatankuasa khas Parlimen kerana kebimbangan terhadap kekurangan akauntabiliti, ketelusan dan kebebasan dalam proses pelantikan dan penyingkiran timbalan pendakwa raya.