Mahkamah tolak petisyen Warisan, GRS kekal kerusi Tanjung Kapor
2026-03-12 - 05:34
Chong Chen Bin mempertahankan kerusi DUN Tanjung Kapor pada PRN lalu dengan memperoleh 6,171 undi. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya yang mencabar kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Tanjung Kapor. Hakim Mahkamah Tinggi Amelati Parnell, membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan Adun Tanjung Kapor Chong Chen Bin serta dua responden lain. Mahkamah turut memerintahkan calon Warisan, Terence Au Soon Fui, yang memfailkan petisyen itu, membayar kos RM20,000 kepada Chong serta RM10,000 kepada responden kedua dan ketiga. Dalam petisyen itu, beliau menamakan masing-masing Chong, pegawai pengurus pilihan raya Tanjung Kapor dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden pertama, kedua dan ketiga. Dalam petisyennya, Terence mendakwa pilihan raya itu terbatal kerana berlakunya rasuah secara umum seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dengan mendakwa ia berlaku secara meluas sehingga munasabah dianggap telah menjejaskan keputusan pilihan raya. Pada PRN itu, Chong dalam pertandingan 11 penjuru dengan memperoleh 6,171 undi. Terence diwakili peguam Hairul V Othman manakala Chong diwakili Shahlan Jufri, Rizwandean Bukhary M Borhan, Ram Singh, Farrah Nasser dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi. Responden kedua dan ketiga pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin dan Zulyana Zollkapli, serta Peguam Persekutuan Mohd Ashraf Abd Hamid.