TheMalaysiaTime

Mahkamah tinggi khas akan tambah baik pengendalian kes rasuah, kata pakar

2026-03-10 - 00:44

Mahkamah tinggi khas rasuah diwujudkan sejajar dengan titah Agong gesa hakim berpengalaman dan saluran khusus disediakan agar kes rasuah dapat diselesaikan segera. PETALING JAYA: Penubuhan mahkamah tinggi khas untuk mendengar kes rasuah serta rayuan daripada mahkamah sesyen khas dijangka dapat menambah baik pengurusan kes dan mengurangkan kelewatan prosiding, menurut pakar perundangan. Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab dan pesara hakim kanan Hamid Sultan Abu Backer berkata, langkah itu akan menyegerakan penyelesaian kes rasuah dan memperkukuh persepsi bahawa Malaysia memandang serius kesalahan rasuah. Ezri menjelaskan, peluasan mahkamah khas rasuah ini akan memberi kesan paling ketara pada peringkat pascapertuduhan, memandangkan garis masa siasatan kekal di bawah bidang kuasa agensi penyiasat dan keputusan pendakwaan terletak pada pendakwa raya. “Namun begitu, sebaik sahaja kes dibawa ke mahkamah, barisan hakim khas boleh menambah baik pengurusan kes, memastikan kesinambungan dan mengurangkan masa menunggu untuk tarikh perbicaraan, terutamanya bagi kes yang kompleks,” katanya kepada FMT. Ezri berkata, penyelesaian kes rasuah tepat pada masanya adalah penting untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan membuktikan bahawa dakwaan yang melibatkan jawatan awam serta dana awam ditangani secara konsisten dan serius. “Keadilan bukan sahaja mesti saksama tetapi tepat pada masanya, terutamanya apabila melibatkan integriti awam,” katanya. Beliau berkata, penyelesaian segera kes-kes rasuah juga boleh mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam penunjuk tadbir urus antarabangsa, seperti Indeks Persepsi Rasuah Transparency International. Ia juga boleh meningkatkan persepsi pelabur terhadap kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem perundangan negara, tambahnya. Pada 19 Feb, media melaporkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Noor Ruwena Nurdin dilantik untuk mengendalikan mahkamah tinggi khas rasuah yang baru ditubuhkan di Kuala Lumpur, berkuat kuasa 1 April. Mahkamah ini diwujudkan sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menggesa supaya hakim berpengalaman dan saluran khusus disediakan bagi memastikan kes rasuah diselesaikan dengan segera. Malaysia kini mempunyai 14 mahkamah sesyen khas rasuah di seluruh negara, dengan badan kehakiman menyasarkan penyelesaian kes rasuah dalam tempoh setahun selepas difailkan, walaupun kes kompleks yang melibatkan lambakan keterangan dokumentari dan ramai saksi mungkin mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan. Apabila ditanya sama ada lebih banyak mahkamah tinggi khas rasuah perlu ditubuhkan di seluruh negara, Ezri berkata, kapasiti mahkamah harus sepadan dengan beban kes dan diukur berdasarkan sasaran penyelesaian. Sementara itu, hamid berkata, penugasan hakim secara khusus untuk kes rasuah akan membolehkan mereka membangunkan kepakaran yang diperlukan bagi menguruskan prosiding dengan lebih cekap. Beliau menegaskan bahawa kes rasuah boleh jadi lebih kompleks berbanding perbicaraan jenayah biasa, kerana ia mungkin melibatkan lambakan keterangan dokumentari, jejak kewangan, dakwaan salah guna kuasa dan tuduhan pengubahan wang haram. “Justeru wajar untuk kita ada mahkamah rasuah yang khusus supaya hakim yang ditugaskan akan peroleh kemahiran untuk menggerakkan kes dengan cepat serta menyampaikan keputusan dan penghakiman tepat pada masanya,” katanya. “Menurut perlembagaan, semua kes jenayah mesti dibicarakan dengan segera untuk elak kesengsaraan dan memelihara hak kebebasan yang termaktub,” tambahnya. Reformasi sistemik masih diperlukan Bagaimanapun, Ezri berkata, penambahan bilangan mahkamah semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kelewatan sistemik jika kepincangan masih berlarutan pada peringkat siasatan atau pendakwaan. “Reformasi mesti perkukuh keseluruhan rantaian proses, bukan sekadar peringkat mahkamah sahaja,” katanya. Ezri juga berkata, peluasan ini mesti disokong oleh barisan hakim yang berpengalaman, infrastruktur yang mencukupi, serta pendakwa raya dan peguam yang mempunyai sumber yang lengkap.

Share this post: