Mahkamah Tinggi batal saman Waytha terhadap Anwar
2026-03-18 - 02:50
Peguam P Waytha Moorthy memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pemilihan Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan perdana menteri terbatal serta tidak sah. KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula difailkan peguam P Waytha Moorthy bagi mendapatkan deklarasi Anwar Ibrahim tidak patut dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun dan seterusnya dilantik perdana menteri pada 2022. Hakim Alice Loke turut memerintahkan Waytha membayar kos RM80,000 kepada Anwar. Waytha memfailkan saman pemula pada Ogos tahun lalu bagi memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022 dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian, batal dan tidak sah Menurutnya, pengampunan diraja diterima Anwar pada 2018 tidak menyatakan beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya selepas dibebaskan dari penjara. Atas dasar itu, Waytha berhujah, pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022 dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian terbatal serta tidak sah. “Saman pemula ini tidak mendedahkan sebarang sebab tindakan munasabah. Memandangkan ia tiada asas undang-undang, saman ini juga remeh dan menyusahkan. “Memandangkan kedudukan undang-undang telah jelas, saman ini merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Saman pemula ini jelas tidak dapat dipertahankan. Tiada guna membenarkannya diteruskan. “Akibatnya, permohonan defendan dibenarkan dan saman pemula ini dibatalkan,” kata Loke ketika menyampaikan penghakimannya. Susulan itu, Waytha memberitahu media, beliau akan merayu terhadap keputusan hari ini. BERITA LANJUT MENYUSUL