TheMalaysiaTime

Mahkamah Singapura kekal hukuman penjara 2 ahli perniagaan Malaysia

2026-03-18 - 04:11

Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan hukuman penjara 36 tahun dan 20 tahun terhadap ahli perniagaan Malaysia John Soh serta rakan konspirasinya, Quah Su-Ling, atas kesalahan manipulasi pasaran saham. PETALING JAYA: Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menolak rayuan oleh ahli perniagaan Malaysia John Soh dan rakan konspirasinya Quah Su-Ling untuk mendapatkan pengurangan hukuman penjara selepas mereka disabitkan kesalahan sebagai dalang di sebalik manipulasi pasaran saham terbesar di republik itu empat tahun lalu. Mahkamah tertinggi republik itu mengekalkan hukuman penjara masing-masing 36 tahun dan 20 tahun terhadap Soh dan Quah, dengan mengambil kira skala serta impak kesalahan mereka terhadap pasaran, lapor The Singapore Edge. Soh dan Quah dijatuhi hukuman pada 2022 selepas didapati bersalah memanipulasi harga saham Blumont Group, Asiasons Capital dan Lion-Gold Corp antara Ogos 2012 hingga Oktober 2013. Tindakan mereka menyebabkan hampir SGD8 bilion (RM27 bilion) nilai permodalan pasaran susut. Soh disabitkan atas 180 pertuduhan termasuk manipulasi pasaran, urus niaga palsu, penipuan, memperdaya serta mengganggu sistem, manakala Quah pula disabitkan atas 169 pertuduhan. Ketiak menolak permohonan mereka untuk hukuman lebih ringan, panel tiga hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon serta Hakim Tay Yong Kwang dan Andrew Phang menyokong dapatan Mahkamah Tinggi sebelum ini bahawa rancangan tersebut ‘bukan sahaja dirancang dengan sengaja malah sangat tersusun’. Soh diwakili oleh N Sreenivasan manakala Quah diwakili oleh N Sivananthan.

Share this post: