Mahkamah Rayuan kekal penjara dan denda wanita jual bayi, guna dokumen palsu
2026-02-24 - 09:23
Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara enam tahun dan denda RM50,000 terhadap bekas pembantu tadbir Nurul Faizan Ahmad Asri. PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM50,000 terhadap seorang bekas pembantu tadbir yang disabitkan kesalahan memperdagangkan bayi lelaki berusia 13 bulan dan menggunakan dokumen palsu untuk mendaftarkan kelahiran bayi itu. Panel tiga hakim diketuai Hakim Azman Abdullah, yang bersidang bersama-sama Hakim Noorin Badaruddin dan Meor Hashimi Abdul Hamid, menolak rayuan terakhir Nurul Faizan Ahmad Asri, 41, terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya. Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara, Azman berkata, dapatan fakta oleh Mahkamah Sesyen yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi adalah tepat dan selaras dengan keterangan dikemukakan. Pada 19 Jan 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati Nurul Faizan bersalah atas tuduhan memperdagang bayi itu atas tujuan eksploitasi dengan memindahkan milikan bayi itu sebagai balasan wang. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 5 Nov 2020. Nurul Faizan turut didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan kedua, iaitu menggunakan Borang Daftar Kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara palsu atas nama bayi itu di jabatan terbabit di Jalan Sri Hartamas 1, Kuala Lumpur, pada November 2020. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM80,000, atau penjara 24 bulan bagi tuduhan pertama, manakala penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan bagi tuduhan kedua, dengan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula 19 Jan 2024. Pada 30 Mei 2025, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan terhadap Nurul Faizan bagi kedua-dua kesalahan, hukuman penjara serta denda RM10,000, namun mengurangkan denda RM80,000 kepada RM40,000 dengan hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda tersebut. Tuduhan pertama dikenakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda. Sementara itu, tuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda. Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Nurul Faizan diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar dan Marisha Dianah Md Darus, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Aznin Mohamed Ariff dan Iznina Hanim Hashim.