Mahkamah kekal pemecatan pengurus kanan kerana konflik kepentingan
2026-03-26 - 00:41
Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa Telekom Malaysia berhak memecat seorang pengurus kananna selepas mendapati beliau bersalah atas 12 daripada 15 tuduhan salah laku. (Gambar Facebook) KUALA LUMPUR: Mahkamah Perusahaan mengekalkan keputusan Telekom Malaysia Bhd untuk memecat seorang pengurus kanan atas pelbagai salah laku, termasuk konflik kepentingan yang melibatkan ahli keluarganya. Pengerusi mahkamah, Chow Siew Lin, berkata syarikat itu berjaya membuktikan bahawa bekas ketua operasi pusat hubungan Unifi, Noressah Abu Samah bertindak bertentangan dengan kepentingan syarikat dengan memihak kepada saudara terdekatnya dalam lapan kes berkaitan kerja. Siasatan dalaman TM, yang mendapati penuntut bersalah atas 15 pertuduhan salah laku, telah mencadangkan supaya beliau dipecat. Selain lapan kes berkaitan konflik kepentingan, beliau juga didapati menggunakan kad kredit korporat syarikat untuk penginapan peribadi di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Enam lagi pertuduhan melibatkan tindakan yang melanggar sekatan Covid-19 yang dilaksanakan syarikat sepanjang tempoh pandemik. Susulan siasatan itu, Noressah mengemukakan representasi kepada ketua pengarah perhubungan perusahaan, yang membawa kesnya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan untuk diputuskan sama ada syarikat menamatkan perkhidmatannya secara tidak adil. Noressah menyertai TM sebagai eksekutif akaun pada 2006, namun dipecat pada 2021 ketika memegang jawatan ketua pusat, dengan gaji terakhir RM15,030 sebulan. Dalam menolak tuntutannya, Chow mendapati TM berjaya membuktikan 12 daripada 15 pertuduhan terhadapnya, manakala tiga pertuduhan lagi tidak memihak kepada syarikat. “Tindakan salah laku yang dibuktikan terhadap penuntut, secara keseluruhannya, adalah serius,” katanya dalam award yang dikeluarkan pada 9 Mac. Chow berkata selain kecekapan dan ketekunan, kejujuran serta integriti merupakan ciri penting yang perlu dimiliki oleh setiap pekerja. “Lebih-lebih lagi bagi seseorang yang memegang jawatan kanan seperti penuntut. Sebagai ketua operasi pusat hubungan Unifi dengan jumlah kakitangan bawahan yang besar di bawah seliaannya, beliau memikul tanggungjawab yang lebih besar dan tinggi.” Beliau berkata tindakan penuntut tidak boleh diterima atau dimaafkan kerana telah melanggar kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh syarikat. Katanya, rayuan penuntut bahawa beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih sepanjang tempoh yang lama, Chow berkata perkara itu tidak melindunginya daripada pemecatan. Sebaliknya, beliau berkata tempoh perkhidmatan selama 15 tahun dengan TM menunjukkan penuntut sepatutnya memahami dasar syarikat, terma pekerjaan serta keperluan untuk pematuhan yang ketat. “Jika semua pekerja dibenarkan bergantung kepada rekod bersih lampau untuk membela diri, ini akan menjejaskan penguatkuasaan disiplin dan tatakelakuan yang wajar dalam organisasi,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata hukuman pemecatan adalah setimpal dengan tahap keseriusan salah laku penuntut. Peguam Subramaniam Anjan dan Muzammil Abdul Halim mewakili syarikat. Fadzil Noor Alias, Zainurin Dom dan Kamal Bahrin Nali pula mewakili penuntut.