TheMalaysiaTime

Lynas Malaysia hasil kumpulan pertama samarium oksida

2026-03-19 - 01:20

Lynas Rare Earths Ltd satu-satunya syarikat membekalkan nadir bumi ringan dan berat di luar China. (Gambar EPA Images) PETALING JAYA: Lynas Rare Earths Ltd mengumumkan bahawa fasilitinya di Malaysia menghasilkan kumpulan pertama samarium oksida, sekali gus menandakan peluasan barisan produk nadir bumi beratnya. Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata pencapaian tersebut meningkatkan jumlah oksida nadir bumi berat yang diasingkan kepada tiga, bersama disprosium dan terbium, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu-satunya pengeluar komersial bahan berkenaan di luar China. Pengeluaran itu dicapai lebih awal daripada jadual, iaitu sasaran asal pada April tahun ini, susulan pengumuman peluasan fasiliti pengasingan di Lynas Malaysia pada Oktober lalu. Lynas berkata kapasiti pemprosesan tambahan akan diperkenalkan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang. Peluasan lanjut bagi menghasilkan unsur seperti europium, holmium, ytterbium dan erbium bergantung kepada perolehan perjanjian komersial yang dapat menyokong pelaburan tersebut. Ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan, Amanda Lacaze, berkata pencapaian itu menunjukkan kepakaran dan keupayaan unik pasukan dalaman syarikat di luar China. “Penambahan samarium oksida bermakna kami dapat menyediakan rangkaian nadir bumi ringan dan berat yang lebih luas untuk digunakan pelanggan dalam menghasilkan magnet kekal berprestasi tinggi,” katanya. “Ini menyokong objektif kami untuk membina rantaian bekalan nadir bumi yang pelbagai dan berdaya tahan serta merupakan pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan ‘Towards 2030’ kami.” Samarium oksida digunakan dalam magnet berprestasi tinggi bagi sektor elektronik dan aeroangkasa, selain aplikasi optik, pemangkin dan perubatan. Awal bulan ini, pengeluar nadir bumi dari Australia itu memperoleh pembaharuan lesen selama 10 tahun untuk mengimport dan memproses nadir bumi di Malaysia.

Share this post: