LRT Laluan Kelana Jaya tergendala lagi
2026-02-27 - 02:54
LRT Laluan Kelana Jaya mengalami pelbagai gangguan pada waktu puncak minggu ini yang menyebabkan kelewatan kepada penumpang. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya tergendala lagi akibat isu teknikal, kata pengendalinya, Rapid KL. Menurutnya, sebuah tren dikeluarkan daripada perkhidmatan di Stesen Kelana Jaya akibat isu teknikal yang menjejaskan kekerapan tren. “Keadaan ini akan menyebabkan perubahan sementara pada kekerapan tren dan penjadualan akan dilaraskan secara automatik. “Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan. LRT Laluan Kelana Jaya mengalami pelbagai gangguan pada waktu puncak minggu ini yang menyebabkan kelewatan kepada penumpang. Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengarahkan pengendali pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Bhd menjelaskan gangguan itu dan mengemukakan pelan tindakan pemulihan. Beliau turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat menyiasat gangguan itu dan mengambil tindakan tegas, jika terbukti berlaku kelemahan operasi tidak munasabah.