TheMalaysiaTime

LRT Kelana Jaya terima 26 tren baharu menjelang 2028

2026-02-27 - 11:54

Set tren LRT baharu bagi laluan Kelana Jaya dijangka tiba pada 2028. PETALING JAYA: Perolehan 26 set tren Transit Aliran Ringan baharu bagi laluan Kelana Jaya dijangka tiba pada 2028. Perolehan itu seiring strategi menstabilkan set-set tren jenis Bombardier 818 Series yang semakin berusia, termasuk perolehan alat ganti tambahan dengan lebih awal. Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan demikian seusai taklimat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkenaan isu-isu melibatkan perkhidmatan LRT Kelana Jaya, dalam mesyuarat pasca-Jemaah Menteri. Loke pada Selasa mengarahkan Prasarana menjelaskan siri gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sejak awal Ramadan, serta pelan tindakan bagi memastikan isu tidak berulang. “Saya menasihati pihak pengurusan supaya lebih proaktif dalam strategi penyelenggaraan dan penyampaian maklumat agar isu-isu yang melibatkan set-set tren 818 tidak menenggelamkan penambahbaikan yang telah dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lalu,” katanya di Facebook. “Prasarana akan mengambil tindakan penambahbaikan terhadap program untuk set tren 818 dan juga pelan kontingensi.” Kerajaan mengumumkan penambahan 26 tren baharu bagi laluan LRT Kelana Jaya dalam Belanjawan 2026, bagi menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam. Perolehan ini menyusuli penambahan 27 set tren jenis Bombardier Innovia Metro 300, di bawah program Kuala Lumpur Additional Vehicle 27 atau KLAV27. Set terakhir tren ini memulakan perkhidmatan tahun lepas, menurut Loke. LRT Kelana Jaya merupakan laluan berkapasiti sederhana dengan 37 stesen.

Share this post: