Loke gesa Anwar jelaskan pakatan pilihan raya kerajaan perpaduan
2026-02-26 - 04:53
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata keputusan jelas perlu dibuat berhubung pendekatan kerjasama kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya akan datang. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelaskan pendekatan kerjasama kerajaan perpaduan menjelang pilihan raya akan datang. Menurutnya, tidak logik untuk parti kerajaan perpaduan bekerjasama di Parlimen, tetapi bersaing di peringkat negeri. Menteri pengangkutan itu berkata, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar perlu mencapai keputusan jelas secepat mungkin. “Perlu diputuskan ialah apa bentuk kerjasama kita? Sama ada kita memasuki pilihan raya secara kerjasama – itu ada pengagihan kerusi antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang lebih tersusun ataupun free-for-all (bebas tanding mana-mana kerusi)? “Kalau sudah tak bekerjasama, nak lawan sekali, biarlah serentak kita lawan sekali. Ataupun bekerjasama sekali. “PH tidak boleh samar-samar. Kita mesti buat keputusan – ia mesti dengan satu cara atau yang lain. Jika kita memilih untuk bekerjasama, maka berjuanglah sebagai satu barisan yang bersatu; jika tidak, maka biarlah free-for-all.” Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah bersaing pada PRN Sabah, walaupun merupakan sekutu dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. September lalu, Loke mencadangkan PRN di 11 negeri Semenanjung Malaysia diadakan serentak dengan PRU16 bagi menjimatkan kos dan penyelarasan penggal. Beliau berkata, ia amalan biasa sehingga 2021-2022. PRU15 diadakan pada 19 Nov 2022, tetapi Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah menangguhkan PRN kerana bimbang berlaku banjir pada akhir tahun. Enam negeri itu mengadakan PRN pada 12 Ogos 2023. Hanya Perlis, Perak dan Pahang mengadakan PRN serentak dengan PRU15. DUN Melaka dijadualkan dibubarkan menjelang Disember ini, manakala penggal kerajaan Sarawak akan tamat 14 Feb tahun depan dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Loke berkata, lebih mudah untuk parti kerajaan berunding pengagihan kerusi jika pilihan raya persekutuan dan negeri diadakan serentak. Menurutnya, jika pilihan raya persekutuan dan negeri diadakan berasingan dan memilih pendekatan “bebas untuk semua”, parti kerajaan perpaduan perlu bersaing dalam PRN. “Itu pasti akan menjejaskan kerjasama dalam kerajaan. “Kita melihat bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) runtuh dengan cara ini – mereka mentadbir bersama di peringkat persekutuan, tetapi bergaduh antara satu sama lain di Melaka, Johor dan Sabah. “Jadi, bagaimana anda boleh terus bekerjasama di peringkat persekutuan?” soalnya.