TheMalaysiaTime

Loke arah CEO Prasarana beri penjelasan siri gangguan LRT Kelana Jaya

2026-02-24 - 12:14

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata penjelasan itu perlu dikemukakan dalam mesyuarat pasca-Kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera bagi memastikan isu sama tidak berulang. PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Bhd, Amir Hamdan mengemukakan penjelasan terperinci berhubung rentetan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sejak awal Ramadan ini. Beliau berkata, penjelasan itu perlu dikemukakan dalam mesyuarat pasca-Kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera bagi memastikan isu berkenaan tidak berulang. “Rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan lebih efisien dan boleh diharap,” katanya dalam hantaran di Facebook. Loke turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap gangguan itu. “Tindakan tegas akan diambil terhadap Prasarana, sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi tidak munasabah.” Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sekali lagi pagi tadi sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa di kebanyakan stesen. Gangguan turut berlaku pada waktu puncak pagi semalam, selepas beberapa unit tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan akibat isu teknikal sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan keresahan dalam kalangan pengguna pengangkutan awam sejak kebelakangan ini. Khamis lalu, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sistem semboyan.

Share this post: