Lokasi, pergantungan buruh asing punca Malaysia ‘sarang’ pemerdagangan, kata NGO
2026-03-14 - 23:23
Human Rights Watch (HRW) seru Malaysia menggubal SOP untuk mengiktiraf dan melindungi mangsa pemerdagangan manusia bukannya menahan mereka. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia yang ‘strategik’ serta permintaan tinggi terhadap buruh asing bergaji rendah antara sebab negara ini terus menjadi kawasan tumpuan bagi kegiatan pemerdagangan manusia, kata dua NGO hak asasi. Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, berkata lokasi Malaysia memudahkan rakyat Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina dan Myanmar berhijrah ke negara ini atau diseludup masuk. Das juga berkata, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat Malaysia kini menjadi negara transit sebelum mangsa diperdagangkan atau diseludup ke New Zealand dan Australia. Beliau berkata, sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pembantu rumah sangat bergantung kepada pekerja asing dari negara jiran yang lebih miskin, menyebabkan sindiket pemerdagangan mengeksploitasi proses pengambilan pekerja untuk meraih keuntungan. “Jangan lupa amalan pengambilan pekerja juga menyumbang kepada masalah ini. “Pekerja asing sering tiba di Malaysia melalui rangkaian ejen dan subejen yang kompleks yang mengenakan bayaran berlebihan, membuat janji palsu, menukar kontrak dan memerangkap pekerja dalam hutang sebelum mereka memulakan pekerjaan,” katanya kepada FMT. Beliau berkata, kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dari negara lebih miskin menjadikan pekerja itu terdedah kepada penderaan, paksaan, ikatan hutang dan buruh paksa, kerana mangsa sering takut melaporkan perkara tersebut kerana bimbang ditahan, dihantar pulang atau kehilangan pekerjaan. Das mengulas pendedahan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail minggu lalu 4,869 tahanan yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) ditangkap atas kesalahan pemerdagangan manusia dan penyeludupan warga asing. Pada Oktober lalu, Malaysia mengekalkan kedudukan Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2025 selepas gagal memenuhi sepenuhnya piawaian minimum bagi membanteras pemerdagangan manusia. Yap Lay Sheng dari Fortify Rights senada dengan Das mengenai kedudukan Malaysia dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, sambil menambah pekerja terbabit ‘menggerakkan banyak asas sektor pembuatan dan perkhidmatan’. Namun, katanya pemerdagangan manusia di Malaysia juga berkait dengan konflik dan bencana yang memaksa rakyat negara jiran melarikan diri ke Malaysia. “Oleh kerana negara kita berdekatan dengan wilayah yang dilanda konflik, Malaysia menjadi destinasi semula jadi bagi pelarian yang mencari keselamatan dan perlindungan daripada penindasan serta peperangan.” Human Rights Watch berkata, pihak berkuasa Malaysia perlu merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk mengenal pasti dan melindungi mangsa pemerdagangan manusia, bukannya menahan mereka. Merujuk kepada kedudukan Tahap 2 Malaysia, penyelidik Asia HRW, Shayna Bauchner, berkata Malaysia masih belum melakukan secukupnya untuk membezakan antara mangsa pemerdagangan manusia dan migran tanpa dokumen lain yang mungkin ditahan dalam serbuan imigresen. “Faktor yang memungkinkan berlaku masalah ini di peringkat akar umbi masih belum ditangani. Mangsa terus dianggap sebagai penjenayah dan ditahan, manakala penguatkuasaan terhadap perekrut, majikan dan pihak lain yang terlibat dalam eksploitasi dan penderaan masih tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi. Yap bersetuju dengan Bauchner, merujuk kejadian kapal karam di perairan Langkawi pada November tahun lalu, menyaksikan mangsa yang diselamatkan ditahan dan didakwa atas kesalahan imigresen oleh sistem keadilan jenayah Malaysia, bukannya diberikan perlindungan. “Apabila mangsa pemerdagangan manusia dilayan sebagai pesalah imigresen, mereka kurang cenderung untuk tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa, yang akhirnya menyukarkan usaha membongkar rangkaian pemerdagangan manusia,” kata Yap.