TheMalaysiaTime

Litar pintas punca 5 sekeluarga maut kebakaran di Raub

2026-03-10 - 00:04

Keadaan rumah mangsa di Kampung Pamah Kulat, Raub yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran 26 Feb lalu. (Gambar JBPM) KUANTAN: Insiden kebakaran yang meragut nyawa lima sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub pada 26 Feb lalu berpunca daripada litar pintas. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang mendapati punca kebakaran itu juga disebabkan sistem pendawaian tidak teratur sehingga menyebabkan litar pintas berlaku. “Berdasarkan analisis JBPM Pahang terhadap kes kebakaran struktur tahun ini, 15 daripada 35 kes keseluruhan berpunca daripada faktor elektrikal, iaitu sekitar 43%. “Diikuti tujuh kes berpunca daripada peralatan gas, iaitu 20% serta enam kes berpunca daripada api berbara, iaitu sekitar 17%, manakala selebihnya masih dalam siasatan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Siap Siaga Raya 2026 di Padang MBK 1 di sini semalam. Mangsa korban dalam kebakaran 26 Feb lalu terdiri daripada Mohd Awi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka — Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10. Fakhruddin berkata, atas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pihaknya akan menyumbang sebuah Rumah Rakyat Pahang kepada waris mangsa terselamat, yang dijangka siap tahun ini. Beliau berkata, pihaknya bercadang memastikan setiap rumah mampu milik di Pahang dilengkapi alat pemadam api bagi meningkatkan tahap keselamatan penghuni memandangkan penggunaannya amat penting, khasnya kebakaran melibatkan elektrik atau gas yang tidak boleh dipadam dengan air kerana boleh memburukkan keadaan. Pada majlis itu, Adun Bebar itu turut menyaksikan penyerahan dua jentera Fire Rescue Tender oleh Syarikat Alliance Steel kepada JBPM Pahang. Jelasnya, inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat itu jelas menunjukkan komitmen industri dalam menyokong usaha pihak berkuasa memperkukuh aspek keselamatan awam. Sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan kecekapan respons kecemasan sepanjang Aidilfitri tahun ini, katanya, jentera dan pasukan JBPM Pahang akan ditempatkan di tiga lokasi strategik sepanjang lebuh raya utama, iaitu kawasan rehat dan rawat Temerloh, Gambang serta Genting Sempah dari 19 hingga 24 Mac ini. “Langkah ini bagi memastikan masa tindak balas pasukan penyelamat dapat dipertingkat, sekiranya berlaku sebarang kecemasan sepanjang tempoh perjalanan pulang orang ramai ke kampung halaman.”

Share this post: