Lewat siap Lebuhraya Pan Borneo Sabah, 2 kontraktor dipenalti RM31.8 juta
2026-03-03 - 05:04
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan penalti ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM31.8 juta kepada dua kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual. Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata 23 pakej kerja dikenal pasti lewat berbanding jadual asal pelaksanaan projek infrastruktur mega itu. “Kelewatan itu dipengaruhi beberapa faktor utama, termasuk keadaan cuaca tidak menentu, cabaran pengambilan balik tanah, isu pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor di tapak. “Kementerian memahami isu ini menjadi kebimbangan berhubung kesan kelewatan projek terhadap mobiliti rakyat, kos logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara. Beliau menjawab pertanyaan Senator Edward Linggu Bukut berhubung jumlah pakej LPB Sabah lewat siap melebihi jadual asal dan nilai penalti LAD dikenakan kepada kontraktor. Ahmad ketika mengulas perkembangan terkini berkata, fasa 1A membabitkan 16 pakej kerja mencapai kemajuan 86.6% dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027, manakala fasa 1B merangkumi 19 pakej kerja kini pada tahap 13.56% serta disasarkan siap pada suku keempat 2028. “Untuk kerja-kerja di jajaran fasa 1B, ia baru dimulakan secara intensif selepas isu pengambilan balik tanah berjaya diselesaikan antara kerajaan pusat dan negeri.” Bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya, beliau berkata, kementerian melaksanakan penyelenggaraan rutin lebih agresif, termasuk pembaikan jalan rosak serta mewajibkan kontraktor menyediakan pelan pengurusan trafik lebih efektif. Katanya, jajaran yang siap akan dibuka lebih awal sebagai laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan tanpa perlu menunggu keseluruhan fasa disiapkan. Mengenai fasa 2 jajaran Tamparuli ke Ranau sepanjang 98km yang diajukan Edward dalam soalan tambahannya, Ahmad berkata, ia masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan memandangkan projek itu tiada kutipan tol.