Lesen memandu tamat lebih 36 bulan tak layak dapat subsidi BUDI95
2026-03-26 - 12:00
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli mengingatkan semua pemegang lesen memandu memastikan ia diperbaharui dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan tidak layak menerima subsidi BUDI95. (Gambar Bernama) PUTRAJAYA: Pemegang lesen memandu (LMM) yang tamat tempoh lebih 36 bulan tidak layak menerima subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95), kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli. Menurutnya, status lesen memandu memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan penerima subsidi itu, justeru pemegang lesen disaran memastikan lesen mereka sentiasa aktif. “LMM yang diklasifikasikan aktif ialah lesen yang tamat sah lakunya tidak melebihi 36 bulan dari tarikh akhir pembaharuan sebelumnya. “Dalam tempoh ini, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 dan boleh memperbaharui lesen secara terus tanpa sebarang ujian tambahan,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, pembaharuan lesen tamat tempoh lebih 36 bulan tidak boleh dilakukan secara terus kerana pemegang lesen wajib menjalani ujian kompetensi memandu semula di institut memandu. Justeru, semua pemegang lesen memandu diingatkan sentiasa memastikan lesen mereka diperbaharui dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan lesen tidak aktif dan tidak layak menerima subsidi BUDI95. “JPJ terus komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan cekap, telus dan berintegriti, selaras aspirasi Malaysia Madani dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.”