TheMalaysiaTime

Lembaga pengarah SRC percaya arahan Najib demi kepentingan negara, mahkamah diberitahu

2026-03-06 - 07:43

SRC International dan anak syarikatnya menyaman bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan semula dana RM42 juta yang diseleweng daripada syarikat itu. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Ismee Ismail beritahu Mahkamah Tinggi bahawa lembaga pengarah mengikut arahan Najib Razak disebabkan kuasa dominan bekas perdana menteri itu terhadap syarikat itu dan percaya bahawa arahan tersebut adalah demi kepentingan negara. Memberi keterangan sebagai saksi pihak ketiga dalam saman sivil yang difailkan oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap Najib, beliau berkata lembaga pengarah bertindak mengikut ketetapan pemegang saham sepenuhnya dan tidak ada kuasa untuk buat keputusan sebaliknya. Najib, atas kapasitinya sebagai menteri kewangan pada ketika itu, merupakan pemegang saham tunggal SRC International. Semasa pemeriksaan balas oleh peguam SRC International, Lee Suan Cui, Ismee bersetuju bahawa lembaga pengarah tidak boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan ketetapan pemegang saham. Lee merujuk Ismee kepada pernyataan saksinya yang menyatakan bahawa situasi tersebut timbul kerana Najib memegang ‘tiga peranan berbeza’ pada masa itu. Lee: Dalam pernyataan saksi, anda menyatakan bahawa lembaga pengarah SRC tidak boleh buat sebarang keputusan yang bertentangan dengan ketetapan pemegang saham disebabkan oleh tiga peranan berbeza yang dipegang oleh defendan (Najib), iaitu penasihat emeritus SRC, perdana menteri dan menteri kewangan, betul? Ismee: Ya, dan lembaga pengarah juga percaya bahawa arahan atau nasihat beliau adalah untuk kebaikan negara dan demi kepentingan terbaik syarikat. Ismee juga bersetuju bahawa tindakan lembaga pengarah pada ketika itu adalah selaras dengan memorandum dan artikel persatuan (M&A) SRC International, yang memberikan kuasa tertinggi kepada peranan penasihat emeritus. Merujuk kepada Artikel 117 dalam M&A tersebut, Lee berkata penasihat emeritus akan menasihati lembaga pengarah mengenai perkara material dan perkara yang mempunyai kepentingan strategik kepada Malaysia, dan lembaga pengarah ‘hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya kepada dan melaksanakan’ sebarang nasihat yang diberikan. Lee: Adakah anda bersetuju bahawa frasa ‘hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya kepada dan melaksanakan’ tidak memberi ruang kepada lembaga pengarah SRC untuk tidak melaksanakan nasihat pemegang saham tersebut? Ismee: Ya. Ismee, 61, adalah seorang daripada enam bekas pengarah SRC International yang ditambah oleh Najib sebagai pihak ketiga dalam saman yang difailkan syarikat itu untuk mendapatkan semula RM42 juta yang didakwa diselewengkan daripada akaun syarikat. Najib menegaskan bahawa Ismee dan lima yang lain – Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Suboh Yassin, Azhar Osman Khairuddin, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Nik Faisal Ariff Kamil – sepatutnya berkongsi tanggungjawab terhadap sebarang ganti rugi yang perlu dibayar kepada plaintif. Najib, 72, dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022, susulan sabitannya kerana menyelewengkan dana SRC International sebanyak RM42 juta. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh penjara beliau kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya kepada RM50 juta. Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Najib dan denda RM11.387 bilion selepas menyabitkan beliau dalam kes 1MDB, dengan tempoh penjara bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman semasa. Peguam kanan Shafee Abdullah mewakili Najib, manakala peguam How Li Nee mewakili Ismee. Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung pada 16 Mac.

Share this post: