Lelaki terlibat kejadian tembakan di Klang disahkan maut
2026-03-05 - 11:23
Tangkap layar video tular menunjukkan anggota polis berkawal berhampiran seorang lelaki terbaring di jalan raya. PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang lelaki yang terlibat dalam kejadian tembakan di Taman Seri Kapar, Klang pagi tadi meninggal dunia. Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata lelaki yang juga pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi manakala penunggang motosikal itu cedera. Beliau kejadian berlaku apabila kedua-dua lelaki itu melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori di Kampung Perepat, Kapar. Katanya, seorang pekerja lelaki itu yang memandu sebuah pacuan empat roda kemudian bertindak mengejar motosikal berkenaan hingga ke Jalan Keretapi Lama. “Apabila seorang daripada lelaki terbabit mengacukan objek menyerupai pistol, suspek kemudian bertindak melanggar motosikal itu sehingga mengakibatkan kedua-duanya terjatuh lalu terseret masuk ke Taman Sri Kapar,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama. Shazeli berkata semakan mendapati pemandu pacuan empat roda iaitu lelaki tempatan berusia 49 tahun mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan Sekyen 307 Kanun Keseksaan. “Si mati mempunyai 23 rekod lampau berkaitan pelbagai kes jenayah berat termasuk bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan. Mangsa yang cedera pula mempunyai 10 rekod jenayah serta berstatus orang dikendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya. Beliau berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda itu telah ditahan polis untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Terdahulu, Shazeli mengesahkan dua lelaki yang menaiki motosikal cedera selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda selepas mereka melepaskan tembakan ke arah seorang pemandu lori pagi tadi. Satu video berdurasi 13 saat memaparkan seorang lelaki terbaring di jalan raya dipercayai berkaitan dengan kes tembak itu turut tular di media sosial.