TheMalaysiaTime

Lelaki sepak, campak anak kucing hingga mati dipenjara 22 bulan

2026-03-04 - 05:13

Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Daniel Hakim Abdullah selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya. SHAH ALAM: Perbuatan kejam seorang lelaki menyepak dan mencampak seekor anak kucing sehingga mati yang videonya tular tahun lalu, menerima padah apabila diperintah menjalani hukuman penjara 22 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas gagal membayar denda RM60,000. Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Daniel Hakim Abdullah, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Mengikut pertuduhan, Daniel yang bekerja sebagai mekanik didakwa menyepak dan mencampak seekor anak kucing sehingga menyebabkan kematian haiwan itu di sebuah pangsapuri di Seksyen U16, di sini antara 4.50 pagi hingga 5 pagi 3 Okt 2025. Berdasarkan fakta kes, tertuduh terjumpa dua ekor anak kucing berwarna hitam dan putih di depan rumahnya, sebelum memasukkan kedua-duanya dalam sebuah beg dan dibawa ke depan rumah jirannya. Dia kemudian mengeluarkan dua ekor anak kucing itu dan menyepaknya. Perbuatan itu direkodkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertuduh mencampak dan menyepak anak kucing tersebut serta tular di pelbagai platform media sosial. Bertindak atas aduan, sepasukan pegawai kebajikan haiwan Selangor tiba di lokasi kejadian pada 9.15 malam hari sama dan hasil pemeriksaan menemui seekor anak kucing berwarna putih telah mati serta ditanam. Pada 9 Okt 2025, hasil bedah siasat ke atas anak kucing itu mendapati kesan retak pada tengkorak kepala dan pendarahan pada paru-paru dengan kesan patah tulang rusuk, manakala punca kematian dikenal pasti akibat kegagalan sistem pernafasan. Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Peguam Amirah Badriyah Azahar yang mewakili tertuduh merayu hukuman penjara kurang setahun kerana anak guamnya tidak mampu membayar denda dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan serta perlu menanggung seorang isteri dan seorang anak berusia tujuh bulan. Amirah Badriyah berkata, anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan migran kronik, selain perlu menyara bapanya berusia 76 tahun yang sedang tenat. “Terdapat tiga hingga empat ekor kucing tidak bertuan selalu buang najis di depan rumahnya, malah tertuduh selalu membersihkan najis berkenaan ke bawah sehingga dimarahi jiran, selain membuat aduan kepada pihak pengurusan pangsapuri, tetapi tiada sebarang tindakan. “Ia menyebabkan tertuduh mengalami tekanan berlanjutan dan hilang pertimbangan serta dengan perasaan emosi dan marah mencampak dan menyepak anak kucing tersebut,” katanya yang turut memaklumkan anak guamnya menyesal atas perbuatan itu. Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Sharif Sabran memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak menzalimi haiwan serta melihat keseriusan kes kerana anak kucing yang menjadi mangsa itu telah mati. Mahkamah menetapkan denda RM60,000 dan hukuman penjara 22 bulan, jika gagal dibayar.

Share this post: