TheMalaysiaTime

Lelaki OKU maut terperangkap dalam rumah terbakar

2026-03-08 - 08:44

Kebakaran pagi tadi di Bachok libat sebuah rumah sementara kekal dengan kemusnahan dianggarkan 90%. (Gambar JBDM) PETALING JAYA: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia selepas terperangkap di dalam rumahnya yang terbakar di Bachok awal pagi tadi. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Mohd Zamizi Muhammad berkata, mayat Che Mohd Faizul Che Sulaiman, 41, ditemukan di dalam bilik tidur rumah terletak di Kampung Mujur-Jelawat itu. “Ketika kejadian, mangsa berada di dalam rumah bersama ibu serta dua adiknya. Bagaimanapun, ahli keluarga lain sempat menyelamatkan diri,” katanya, lapor Bernama. Mohd Zamizi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.15 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Bachok digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 9.26 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah sementara kekal dengan kemusnahan dianggarkan 90%. “Kebakaran berjaya dikawal pada 9.38 pagi. Mangsa kemudiannya ditemukan pada 9.43 pagi tadi,” katanya.

Share this post: