TheMalaysiaTime

Lelaki mengaku menyamar polis dipenjara 6 tahun, 2 sebatan

2026-03-08 - 09:23

Mohd Faizal Sinorcho, 40, mengaku salah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani. PETALING JAYA: Bekas pengawal peribadi yang menyamar anggota polis dipenjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah menyamun sebuah motosikal serta menyebabkan kecederaan kepada penunggangnya, bulan lalu. Mohd Faizal Sinorcho, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Najwa Che Mat di Mahkamah Sesyen Sungai Petani. Mengikut pertuduhan, lelaki itu menyamun sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki, dan sengaja menyebabkan kecederaan kepada lelaki berkenaan di Jalan Cindai Bandar Puteri Jaya di sini pada 12.45 pagi, 9 Feb lepas. Pendakwaan mengikut Seksyen 392 [Akta 574], yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun serta denda atau sebatan, lapor Bernama. Sementara itu, di dua kamar Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh turut dikenakan hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyamar polis. Di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri, dia didakwa menyamar dengan memakai vest berlogo polis dan memegang gari di hadapan seorang wanita di hadapan pintu CMart Cengal, Sungai Petani, pada 12.45 pagi, 9 Feb. Pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, dan bagi kesalahan itu, Faizal dihukum penjara lima bulan. Di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi pula, dia dituduh menyamar dengan memakai vest berlogo polis dan memperdaya seorang wanita dalam kereta Perodua Viva yang dalam perjalanan dari Gerik, Perak ke Sungai Petani, Kedah antara 5.50 petang hingga 11.30 malam, 8 Feb. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan dan dihukum penjara dua bulan. Majistret Muhammad Syaiful Akmal turut menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan ke atasnya selepas mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita dengan niat melakukan perbuatan mencabul kehormatan pada masa, tempat, dan tarikh yang sama. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Share this post: