TheMalaysiaTime

Lelaki direman 4 hari pukul, langgar kepala isteri hamil

2026-03-20 - 04:40

Suspek berusia 22 tahun itu direman mulai hari ini hingga Isnin depan. (Gambar Rawpixel) PETALING JAYA: Seorang penghantar makanan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh susulan video tular memaparkan lelaki itu bertindak ganas memukul serta melanggar kepala wanita dipercayai isterinya menggunakan motosikal, baru-baru ini. Berita Harian melaporkan perintah reman bermula hari ini hingga Isnin depan terhadap suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani. Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Melaka, Siti Norhayati Zainan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Sebelum ini, ibu mangsa berusia 51 tahun membuat laporan di Balai Polis Tengkera Isnin lalu berhubung kejadian menimpa anak perempuannya yang hamil di depan sebuah pusat karaoke di Kota Shahbandar, Melaka, Ahad lalu. Suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin kira-kira 11 pagi semalam.

Share this post: