TheMalaysiaTime

Lelaki didenda RM2,500 kerana guna parang ugut kakak tak kejut tidur

2026-03-04 - 07:13

Mahkamah Majistret Batu Pahat menjatuhkan hukuman itu ke atas Zainul Ariffin Mohd Jaid selepas mengambil kira pengakuan dan rayuannya serta hujahan pihak pendakwaan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Batu Pahat menjatuhkan denda RM2,500 kepada seorang lelaki yang mengaku bersalah mengugut akan mencederakan kakak kandungnya menggunakan parang kerana tidak mengejutkannya daripada tidur. Harian Metro melaporkan Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu ke atas Zainul Ariffin Mohd Jaid, 32, selepas mengambil kira pengakuan dan rayuannya serta hujahan pihak pendakwaan. Dia didakwa sengaja menakutkan kakak kandungnya berusia 44 tahun dengan mengacu sebilah parang ke arah wanita itu di sebuah rumah di Sri Merlong, Rengit pada 1.40 tengah hari 1 Mac lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Berdasarkan fakta kes, tertuduh berang kerana kakaknya tidak mengejutkan dia untuk menghantar ibu mereka menjalani rawatan kencing manis di hospital. Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan dia sudah beberapa kali mengejutkan tertuduh yang tidak sedar. Tertuduh kemudian mengambil parang dan mengugut kakaknya dengan berkata: “Kamu jangan sampai aku kelam mata, kalau dah kelam, apa-apa aku boleh buat.” Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Share this post: