TheMalaysiaTime

Lelaki didakwa ancam Zamri dibebas selepas 1 hari direman

2026-03-08 - 15:34

Tangkap layar dimuat naik Zamri Vinoth malam tadi papar dua lelaki menaiki sebuah motosikal dan beberapa pejalan kaki dilihat mendekati kereta Jaguar sebelum pemandunya memecut meninggal lokasi. GEORGE TOWN: Polis membebaskan seorang lelaki yang sehari ditahan berkait dakwaan ugutan terhadap penceramah kontroversi, Zamri Vinoth. Peguam V Parthipan, berkata seorang lagi lelaki berusia 27 tahun kini sedang membantu polis dalam siasatan. Katanya, beliau telah menyerahkan lelaki berusia 27 tahun itu kepada polis hari ini, sambil menyatakan anak guamnya telah memfailkan laporan terhadap Zamri berhubung dakwaan penceramah itu dalam sebuah klip video bahawa dia cuba melanggar dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal. “Kami berharap pihak polis akan menyiasat perkara ini dengan adil,” katanya. Awal hari ini, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an ditahan di Bukit Mertajam susulan laporan dibuat Zamri. Dia ditahan bagi siasatan berkaitan dakwaan ugutan jenayah dan khianat. Azizee berkata, polis sedang berusaha mengenal pasti individu lain yang terlibat. Malam tadi, Zamri berkongsi satu klip video berdurasi 19 saat di Facebook di mana beliau mengulas mengenai tindakan ‘melanggar’ dua lelaki bermotosikal, didakwa membaling tiga batu ke arah kereta Jaguarnya, sehingga menyebabkan dua tingkap pecah. Beliau berkata, dua lelaki bermotosikal tidak dikenali dan empat individu lain yang berjalan kaki menghampiri keretanya semasa ia sedang diparkir. Zamri mendakwa, lelaki tersebut bertindak sedemikian akibat ‘hasutan’ oleh Ahli Parlimen Bukit Jelutong, RSN Rayer.

Share this post: