Lelaki cedera kereta api langgar motosikal troli di Sabah
2026-03-03 - 09:53
Video tular berdurasi 30 saat di media sosial memperlihatkan beberapa penumpang dalam kereta api cemas apabila ia bergerak laju. TENOM: Seorang lelaki cedera ringan selepas kereta api Tenom-Pangi yang membawa beberapa penumpang hilang kawalan akibat masalah brek sebelum melanggar motosikal troli penduduk yang berada di landasan dalam kejadian di Batu 11, Pangi, hari ini. Ketua Polis Tenom, Azmir Abd Razak, berkata makluman awal mendapati kereta api itu telah melanggar empat motosikal troli penduduk yang berada di landasan berkenaan dalam kejadian 8 pagi tadi. Beliau berkata, banjir dan tanah runtuh di pertengahan laluan landasan kereta api Tenom-Pangi menyebabkan perkhidmatan pengangkutan hanya setakat Batu 11 dan penduduk yang jauh terpaksa mencari alternatif sama ada menaiki motosikal troli atau berjalan kaki. “Malangnya disebabkan kegagalan brek yang telah dikesan lebih awal sebelum sampai tempat kejadian, kereta api yang membawa beberapa penumpang telah terbabas dan melanggar empat buah motosikal menyebabkan seorang lelaki cedera ringan,” katanya ketika dihubungi Bernama. Azmir berkata, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kereta api dalam keadaan sempurna sebelum beroperasi. “Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan motosikal troli di landasan yang sama perkhidmatan kereta api walaupun kita tahu mereka tiada pilihan disebabkan tiada jalan perhubungan selain laluan berkenaan,” katanya. Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar yang juga Adun Melalap berkata Jabatan Keretapi Negeri Sabah diminta mengadakan siasatan penuh perkara ini dan mengambil langkah segera agar peristiwa ini tidak berulang. Dalam hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata kereta api berkenaan membawa guru Sekolah Kebangsaan Pangi, Tenom. “Saya juga memohon pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk segera memulakan projek jalan raya Tenom-Pangi yang telah pun diluluskan oleh ketua menteri (Hajiji Noor) awal 2025 dan difahamkan kontraktor juga sudah dilantik,” katanya. Terdahulu tular video berdurasi 30 saat di media sosial memperlihatkan beberapa penumpang dalam kereta api berkenaan berada dalam keadaan cemas apabila kereta api itu bergerak dengan laju.