Ledakan AI boleh dorong harga produk elektronik pengguna naik 50%
2026-02-25 - 00:43
Kebanyakan produk elektronik seperti televisyen pintar dan sistem kereta tertentu terus bergantung pada cip memori lama. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Harga televisyen, jam pintar atau telefon selepas ini berpotensi meningkat dengan ketara susulan ledakan global dalam kecerdasan buatan (AI), menyebabkan pengeluar cip memberi tumpuan kepada pengeluaran cip berasaskan AI. Ia sekali gus mengehadkan bekalan cip memori lama yang digunakan dalam peranti harian. Pua Khein-Seng, ketua pegawai eksekutif Phison Electronics, pembekal utama pengawal yang digunakan dalam SSD dan produk storan lain, berkata syarikat telah beralih kepada pengeluaran produk ‘sangat menguntungkan’ seperti memori HBM dan cip DDR5 RAM. Pua Khein-Seng. Cip memori, yang menjadi komponen penting setiap peranti, terutamanya hadir dalam bentuk RAM untuk memori jangka pendek atau kerja dan NAND untuk storan. Cip HBM khususnya semakin banyak digunakan dalam aplikasi AI kerana ia boleh memindahkan sejumlah besar data pada kelajuan tinggi. Pua berkata masalah utama adalah sebahagian besar pasaran elektronik pengguna masih bergantung kepada komponen lama. “Banyak produk masih memerlukan bahagian lama ini: set top box, televisyen pintar, peranti boleh pakai (wearables), router dan beberapa sistem kereta,” katanya kepada FMT. Beliau berkata apabila kos komponen lama meningkat, harga runcit untuk televisyen, telefon pintar dan komputer riba boleh meningkat antara 30% hingga 50%. Kekurangan bekalan ini mungkin mengambil masa dua hingga empat tahun untuk pulih, memandangkan masa diperlukan untuk mereka semula komponen dan mengembangkan kapasiti kilang untuk cip memori lama. Pua berkata jenama mungkin perlu membuat pengurangan untuk mengekalkan harga mampu milik, dengan telefon bajet bersama RAM dan storan yang lebih sedikit berbanding sebelum ini. “Sesetengah jenama telefon mungkin akan membawa semula slot kad microSD supaya pengguna boleh menambah storan sendiri,” katanya. Beliau menambah bahawa jenama pengguna yang lebih kecil kemungkinan akan terjejas dulu, kerana ia sering kurang simpanan kewangan untuk mendapatkan cip terhad lebih awal, berbeza dengan syarikat teknologi terbesar di dunia. “Pembekal pernah terkesan dengan kitaran ledakan-dan-kejatuhan selepas Covid-19, jadi mereka enggan melabur tanpa komitmen yang kukuh. “Itulah sebabnya pembeli terpaksa membayar lebih awal untuk mendapatkan stok masa depan dan pembekal menggunakan wang itu untuk membiayai ruang kilang baharu,” katanya. Pua memberi amaran bahawa kekurangan ini boleh menjadi ancaman besar kepada hab pembuatan seperti Pulau Pinang, kerana kilang mungkin terpaksa menghentikan operasi jika cip penting tidak dapat diperoleh tepat pada masanya. “Jika anda sedang menghasilkan sebuah televisyen dan tidak mempunyai satu komponen memori penting, anda tidak akan dapat menyiapkan produk itu. Mungkin ada ratusan atau ribuan komponen lain, tetapi jika hanya satu cip memori hilang, keseluruhan barisan pengeluaran terhenti,” katanya. Beliau berkata walaupun Malaysia cemerlang dalam pemasangan dan ujian elektronik, kekurangan kawalan terhadap komponen utama menyebabkan negara mempunyai pengaruh yang sedikit apabila bekalan global menjadi terhad.