TheMalaysiaTime

Lebih ramai jemaah desak syarikat pelancongan dikena tuduhan jenayah

2026-02-22 - 00:13

Jemaah berkata, mereka membelanjakan ribuan ringgit untuk perjalanan umrah yang tidak pernah menjadi kenyataan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Lebih ramai jemaah mendesak pertuduhan jenayah dikenakan terhadap sebuah agensi pelancongan yang kini tidak beroperasi, sambil mendakwa mereka masih belum mendapat pampasan penuh bagi perjalanan ke Mekah yang tidak menjadi kenyataan. Jemaah berkenaan mendakwa mereka telah membayar ribuan ringgit untuk tiket ke Tanah Suci pada 2019, namun hanya menerima bayaran balik sebahagian sahaja selepas dibiarkan ‘terkandas’. Satu kumpulan terdahulu terdiri 25 jemaah bertindakn menyaman Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd atas kegagalan perjalanan, yang turut berlaku pada 2019. Pada 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan 25 jemaah tersebut yang telah membayar sejumlah RM795,000 untuk pakej umrah, berjaya membuktikan tuntutan terhadap agensi pelancongan itu dan memerintahkan firma tersebut memulangkan RM634,000. Menurut laporan, kes berkenaan melibatkan 15 jemaah terkandas di Jeddah dan 10 jemaah yang tidak pernah berlepas. Awal bulan ini, seorang peguam mewakili kumpulan terbabit, mendesak pihak berkuasa meneruskan pertuduhan jenayah selepas agensi pelancongan itu gulung tikar. Khairun Niza Husnin menjelaskan bahawa mahkamah hanya menetapkan liabiliti undang-undang terhadap agensi pelancongan itu, bukannya terhadap pengarah atau ejennya. “Di mahkamah sivil, tiada apa lagi yang boleh kami lakukan. Apa yang masih boleh dilakukan adalah untuk pihak berkuasa mendakwa mereka yang bertanggungjawab,” beliau dipetik sebagai berkata. Seorang pesara yang enggan dinamakan, mendakwa bahawa dia telah membelanjakan RM42,000 untuk perjalanan ke Arab Saudi, yang akhirnya tidak kesampaian. Dia berkata, agensi pelancongan itu telah memberi jaminan secara lisan kepadanya bahawa akan menerima bayaran balik penuh sekiranya gagal mendapatkan visa ke Mekah. “Saya hanya dapat balik kira-kira separuh daripada jumlah dibayar,” kata warga emas berusia 62 tahun itu kepada FMT, sambil menambah dia hanya menerima bayaran balik sebahagian itu selepas mendesak pihak syarikat memulangkan wangnya agar dapat menunaikan umrah pada tahun sama. Pesara itu yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang, berkata dia telah menghabiskan simpanan KWSP miliknya bagi perjalanan itu. “Selepas saya pulang daripada menunaikan umrah, tiada lagi bayaran balik diterima,” katanya sambil memberitahu dia tidak membawa agensi pelancongan itu ke mahkamah pada masa itu kerana tidak mempunyai dana mencukupi. Sementara itu, seorang penjawat awam berkata dia bersama dua lagi ahli keluarga juga tidak dapat berkunjung ke Tanah Suci walaupun sudah membayar RM62,000 kepada sebuah agensi pelancongan, yang tidak dinamakannya. Katanya, syarikat pelancongan tersebut memulangkan RM25,000 kepada keluarganya pada tahun sama, namun baki RM37,000 lagi masih belum dikembalikan. Wanita itu berkata, dia telah membuat tiga laporan polis terhadap agensi berkenaan pada 2019, dan turut membawa perkara itu ke Tribunal Tuntutan Pengguna. Tribunal tersebut akhirnya memutuskan untuk memihak kepadanya dan memerintahkan agensi itu supaya membuat bayaran balik. Tetapi, agensi berkenaan gagal mematuhinya, yang mendorongnya untuk memfailkan aduan ketidakpatuhan. Hamzah Ali, jurucakap bagi kira-kira 40 lain yang tidak mempunyai perwakilan undang-undang, berkata beliau telah menulis surat kepada menteri hal ehwal agama ketika itu, Na’im Mokhtar, pada Januari 2024. Menurut pesanan ringkas yang dikongsi oleh Hamzah, Na’im menyatakan beliau telah mengarahkan ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Haji untuk meneliti perkara tersebut. “Saya diberitahu bahawa pasukan undang-undang TH akan menghubungi saya, tetapi saya tidak mendengar khabar daripada mereka sejak itu,” katanya.

Share this post: