TheMalaysiaTime

Lebih 200 maut dalam tanah runtuh di lombong Congo

2026-03-04 - 23:34

Kumpulan pemberontak AFC/M23 menguasai tapak perlombongan Rubaya sejak 2024. (Gambar EPA Images) KINSHASA: Lebih 200 maut dalam tanah runtuh akibat hujan lebat di lombong coltan Rubaya di timur Republik Demokratik Congo pada Selasa, kata Kementerian Perlombongan negara itu. Terdahulu, seorang pegawai kanan daripada kumpulan pemberontak AFC/M23 yang mengawal lombong itu memberitahu Reuters, hanya lima atau enam orang maut. Rubaya menghasilkan kira-kira 15% daripada coltan dunia, yang diproses menjadi tantalum, logam tahan haba sangat diperlukan oleh pengeluar telefon bimbit, komputer, komponen aeroangkasa dan turbin gas. Tapak itu yang dikawal kumpulan pemberontak AFC/M23 sejak 2024, baru-baru ini dimasukkan dalam senarai pendek aset perlombongan yang ditawarkan kerajaan Congo kepada Amerika Syarikat di bawah kerangka kerjasama mineral. “Tapak rosak itu antara lokasi yang operasinya tidak digalakkan sementara menunggu kawasan berkenaan disahkan selamat dan pelaksanaan langkah perlindungan untuk pelombong. Insiden ini akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu,” kata seorang lagi pegawai kanan AFC/M23 kepada Reuters. Kementerian Perlombongan berkata, kira-kira 70 kanak-kanak antara mangsa dan ramai yang cedera telah dipindahkan ke kemudahan kesihatan di bandar Goma. Jurucakap M23 tidak dapat dihubungi untuk mengulas jumlah korban yang dinyatakan kerajaan. Insiden terbaru ini menyusul sebulan selepas satu lagi bencana di tapak sama yang meragut lebih 200 nyawa akhir Januari lalu.

Share this post: