TheMalaysiaTime

Lau seru komponen PN bersatu ganti kerajaan

2026-02-02 - 07:06

Presiden Gerakan Dominic Lau menegaskan persefahaman adalah teras utama dalam memperkukuh Perikatan Nasional. PETALING JAYA: Presiden Gerakan Dominic Lau menggesa semua komponen dalam Perikatan Nasional (PN) memberi tumpuan kepada usaha menyatukan kekuatan dan memperkukuh jentera bagi menggantikan kerajaan Madani pada masa akan datang. Menyambut baik kenyataan Presiden PAS Hadi Awang semalam yang menekankan kepentingan perpaduan dalam PN, Lau turut menegaskan persefahaman merupakan teras utama dalam memperkukuh gabungan itu. “Ini bukan masanya untuk pertikaian dalaman. Sebaliknya PN perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyatukan kekuatan, memperkukuh jentera, menyelaras strategi serta memberi keyakinan kepada rakyat,” katanya. Lau berkata, kekuatan PN terletak pada kesatuan keempat-empat parti komponennya yang perlu bergerak seiring berlandaskan semangat muafakat, saling menghormati dan komitmen bersama. “Gerakan percaya hanya melalui perpaduan yang kukuh antara semua parti dalam PN, ia mampu tampil sebagai satu alternatif yang berwibawa untuk menggantikan kerajaan Madani dan menawarkan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat,” katanya. Semalam, FMT melaporkan Hadi menepis dakwaan terdapat usaha menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada PN kerana isu itu tidak dibangkitkan dalam pemukiman tertutup parti bermula Jumaat lalu selain agenda memperkukuhkan PAS dan perpaduan dalam PN. Penjelasan Ahli Parlimen Marang itu sekali gus menolak spekulasi PAS akan meninggalkan PN. Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman, turut menyeru Bersatu dan PAS melaksanakan ‘gencatan senjata’ sementara menunggu mesyuarat segera majlis tertinggi gabungan itu. Ia susulan kenyataan Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, baru-baru ini berhubung jawatan pengerusi PN yang menjadi subjek pertikaian Bersatu dan PAS sejak Muhyiddin melepaskan jawatan itu.

Share this post: