Larangan kenderaan barangan, logistik pada 19, 20, 28 dan 29 Mac
2026-03-18 - 14:01
Kementerian Pengangkutan berkata, larangan bagi kenderaan barangan dan logistik adalah bagi memastikan trafik lancar, kurang risiko kemalangan serta jadikan perjalanan pulang ke kampung lebih selesa dan selamat. KUALA LUMPUR: Larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini akan berkuat kuasa pada 19 dan 20 Mac, serta 28 dan 29 Mac ini. Kementerian Pengangkutan memaklumkan larangan itu bagi memastikan kelancaran trafik, mengurangkan risiko kemalangan serta menjadikan perjalanan pulang ke kampung lebih selesa dan selamat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. “Pelaksanaan larangan ini mengambil kira keseimbangan antara kelancaran trafik dengan keperluan operasi kritikal. “Orang ramai digalakkan merancang perjalanan dengan baik dan mematuhi peraturan demi keselamatan bersama,” menurut MOT menerusi hantaran di Facebook hari ini. Dalam hantaran berasingan, kementerian itu memaklumkan, beberapa kategori kenderaan berat bagaimanapun dibenarkan beroperasi dengan had masa tertentu pada tarikh berkenaan, antaranya lori kontena dan kargo dari 8 pagi hingga 8 malam, manakala kenderaan pembinaan pula bermula 6 pagi hingga 6 petang dalam lingkungan 25km. Kementerian memaklumkan, pengecualian turut diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti operasi kecemasan, pengangkutan dari pelabuhan dan lapangan terbang serta bekalan keperluan asas. “Pendekatan ini mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan keselamatan dan kelancaran trafik tanpa menjejaskan operasi penting negara,” katanya.