Laporan SPRM dibuat berhubung projek kabel fiber optik RM214 juta
2026-02-14 - 11:36
Dua wakil Pertubuhan Sukarelawan Warga Kota Kuala Lumpur buat laporan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya tengah hari tadi. PETALING JAYA: Satu laporan difailkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek Telekom Malaysia Bhd melibatkan bekalan dan pemasangan kabel fiber optik bernilai RM214 juta. Laporan itu dibuat dua wakil Pertubuhan Sukarelawan Warga Kota Kuala Lumpur di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, tengah hari tadi. Salah seorang wakil, Fazreen Farhan Rozlan dilaporkan berkata, kontrak projek diberikan kepada vendor Opcom Sdn Bhd melalui rundingan terus. “Ini cerita lama yang masih membelenggu kami. Tujuan saya buat laporan ini, saya minta pihak SPRM lakukan satu siasatan yang tegas dan telus,” katanya, lapor Berita Harian. Bahagian pengurusan maklumat SPRM selesai merakam maklumat yang diberikan oleh dua wakil itu pada 12.35 tengah hari. Pada Jun 2023, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya belum membuka siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan kontrak menggantikan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta itu. Azam berkata, SPRM masih meneliti maklumat yang diperoleh berhubung dakwaan itu dan siasatan akan dimulakan jika ia cukup berasas. Sebelum ni, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Opcom, syarikat yang dikaitkan dengan anak Dr Mahathir Mohamad, didakwa memperoleh kontrak menggantikan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta itu 20 tahun lalu. Menerusi pernyataan pembelaan dalam saman fitnah oleh Mahathir, Anwar menyebut kontrak rundingan terus diberikan kepada Opcom, di mana Mukhriz, anak ketiga Mahathir, didakwa menjadi pengarah dari 30 Mac 1994 hingga 14 Okt 2009. Anwar berkata ,Telekom Malaysia, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) sebagai pemegang saham khas, menghantar surat ke Kementerian Kewangan meminta kebenaran melakukan rundingan terus dengan Opcom pada 2003. Beliau berkata, MoF Inc berada di bawah kawalan Mahathir, yang ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan.