TheMalaysiaTime

Laluan ‘ekspres’ KJ, Hishammuddin perkasa Umno demi survival, kata penganalisis

2026-03-18 - 02:31

Khairy Jamaluddin dipecat daripada Umno manakala Hishammuddin Hussein digantung keahlian selama enam tahun pada 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti. PETALING JAYA: Langkah Umno memberikan ‘laluan ekspres’ kepada ahli dipecat dan digantung untuk kembali adalah kerana ia tidak mahu berlengah membawa pulang tokoh berpengaruh demi memperkukuh jentera parti berdepan pilihan raya akan datang, kata penganalisis. Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata pendekatan itu adalah sesuatu yang positif terutama penerimaan semula bekas naib presiden Hishammuddin Hussein serta bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin. “Banyak positifnya untuk KJ umpamanya dan Hishammuddin yang berpengaruh di Johor yang akan ada pilihan raya negeri tidak lama lagi. “Jadi tidak guna melambat-lambatkan lagi jika mereka tahu siapa dan kenapa tokoh ini mahu kembali,” katanya kepada FMT. Hishammuddin dan Khairy antara yang menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama Umno bagi memperkuatkan wadah perjuangan ‘Rumah Bangsa’. Pada 2023, Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun manakala Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat atas sebab pelanggaran disiplin parti selepas PRU15. Bagaimanapun seorang lagi penganalisis, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berbeza pandangan apabila melihat langkah itu sebagai ‘tanda panik’ Umno mendapatkan semula aset politik mereka. Zaharuddin dari Global Asia Consulting berkata beliau melihat tindakan Umno itu bertujuan menutup kekurangan wajah segar dalam parti dengan mengutamakan populariti individu tertentu berbanding ahli setia yang lain. “Ini menggambarkan proses disiplin parti seolah-olah sudah lumpuh akibat amalan pilih kasih. “Rayuan Khairy mungkin menghidupkan semula ‘poster boy’, tetapi ia juga berisiko menguburkan kepercayaan akar umbi. Umno dilihat berdepan dilema antara survival atau integriti “Dengan memberi keutamaan kepada tokoh populis, parti seolah-olah menelanjangkan kelemahan sendiri bahawa prinsip boleh dikorbankan demi kosmetik politik,” katanya. Menurutnya, Umno kini nampak semakin ‘usang’ dan hanya bergantung kepada wajah tertentu untuk ‘bernafas’ dan dijual kepada pengundi. “Umno hanya bergantung kepada wajah tertentu sedangkan semangat kesetiaan dalaman semakin terhakis,” katanya. Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum ini mempelawa ahli yang dipecat dan digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan menerusi insiatif ‘Rumah Bangsa’.

Share this post: