TheMalaysiaTime

Lagi ketua bahagian Bersatu umum letak jawatan

2026-02-19 - 08:03

Bekas ahli jawatankuasa Bersatu Bagan Serai, dipimpin Ismail Ali, umum letak jawatan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Beberapa lagi pemimpin Bersatu bahagian meletak jawatan daripada jawatan masing-masing, berlatarkan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden, dan rasa tidak puas hati terhadap Presiden Muhyiddin Yassin. Yadzan Mohammad, Ahmad Man dan Ismail Ali — masing-masing bekas pemimpin bahagian Tanjung Malim, Bukit Gantang dan Bagan Serai — berkongsi kenyataan dan video mengisytiharkan mereka melepaskan jawatan. Yadzan dan Ismail turut mengumumkan keluar parti. Di sebalik dakwaan beberapa bahagian bubar susulan peletakan jawatan, Setiausaha Agung Azmin Ali semalam berkata tindakan individu tidak beri kesan pada kewujudan bahagian. Setakat semalam, 26 bahagian Bersatu dilaporkan terjejas, termasuk Lembah Pantai, Larut, Kepala Batas, Padang Rengas, dan Tanjong. Bekas speaker Dewan Negara, Rais Yatim, dan bekas menteri, Noh Omar, turut dinamakan antara mereka yang meletak jawatan. FMT tidak dapat mengesahkan senarai tersebut pada masa laporan ini ditulis. Ia telah dihantar kepada Azmin untuk mendapatkan ulasan. Perkembangan ini di sebalik ketidaktentuan dalam Bersatu menyusuli penyingkiran Hamzah, dengan beberapa pemimpin bahagian sebelum ini menyatakan sokongan kepada platform politik baharu yang dikaitkan dengan beliau.

Share this post: