Ladang isi rumah bukan penyelesaian jangka panjang keterjaminan makanan negara
2026-03-23 - 03:10
Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menggalakkan individu tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat. (Gambar Facebook Mohamad Sabu) PETALING JAYA: Pakar berkata, menggalakkan rakyat menanam sayur sendiri boleh menyokong daya tahan makanan, tetapi bukan penyelesaian jangka panjang terhadap cabaran keterjaminan makanan negara. Shakirin Mispan dari Universiti Malaya berkata, ladang rumah tidak menyelesaikan isu struktur lebih mendalam, seperti kebergantungan negara terhadap import dan pengeluaran berskala besar. “Pertanian isi rumah boleh mengurangkan sebahagian kos harian, tetapi tidak dapat menstabilkan harga makanan atau menggantikan peranan sistem bekalan makanan lebih besar,” katanya kepada FMT. Beliau berkata, item makanan utama seperti beras, daging, telur dan bahan asas masih banyak bergantung kepada import serta pengeluaran berskala besar. Nasir Shamsudin dari Putra Business School berkata, program pertanian Bumi Hijau yang diperkenalkan pada 2006 oleh Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, berdepan kesukaran mengekalkan penyertaan jangka panjang. Cabaran sama mungkin masih berterusan hari ini, khasnya di kawasan bandar dengan ruang, masa dan sumber terhad. “Kajian mengenai pertanian bandar di Malaysia menunjukkan mereka menghadapi kesukaran mengekalkan penglibatan jangka panjang disebabkan sokongan terhad, kekangan sumber dan gaya hidup.” Shakirin berkata, kekurangan struktur jangka panjang, insentif dan sokongan institusi juga berisiko menjadikan inisiatif sedemikian kempen jangka pendek. “Tanpa elemen ini, inisiatif sedemikian berisiko kekal kempen jangka pendek, bukannya berkembang menjadi sistem pengeluaran makanan mampan.” Pada 13 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengarahkan pegawainya menanam sayuran sendiri kerana perang di Asia BArat berpotensi memberi kesan kepada bekalan makanan. Beliau turut menggalakkan mereka yang tinggal di rumah atas tanah memulakan tanaman yang memberi pulangan hasil cepat sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik. Cadangan itu dikritik seorang Ahli Parlimen bahawa ia tidak akan menyelesaikan isu keterjaminan makanan kerana berskala kecil dan kesannya terhad. Mohamad mempertahankan cadangannya dengan berkata, negara maju seperti Jepun dan Singapura turut mementingkan pertanian bandar, walaupun memiliki dasar makanan kukuh.