Kuat di ‘Malay Belt’ belum cukup angkat Dr Sam jadi PM, kata pemimpin PAS
2026-03-18 - 00:51
Pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi PN, menggantikan Muhyiddin Yassin, isyarat awal beliau bakal menjadi calon perdana menteri dari PN, menurut Iskandar Samad. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Kekuatan Perikatan Nasional (PN) di Pantai Timur dan kawasan dikenali sebagai ‘Malay belt’ sahaja belum mencukupi untuk membolehkan gabungan itu merampas kerajaan Persekutuan, kata Bendahari PAS Iskandar Samad. Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata walaupun PN khususnya PAS dilihat kukuh di Kelantan dan Terengganu serta mempunyai pengaruh kuat di Kedah dan beberapa kawasan di Perak, ia masih belum menjamin kemenangan di peringkat nasional. “Menang semua kerusi di sana belum lagi dapat menabalkan Dr Sam (Ahmad Samsuri Mokhtar) sebagai PM,” katanya sambil menekankan pemilihan menteri besar Terengganu itu sebagai pengerusi PN menjadi isyarat beliau akan menjadi calon perdana menteri ke-11. Samsuri yang juga naib presiden PAS menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu. Iskandar berkata Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Perlis serta Sabah dan Sarawak perlu turut menjadi medan kekuatan PN jika gabungan itu benar-benar mahu menawan Putrajaya pada PRU16. Beliau menambah landskap politik semasa memerlukan kerjasama menyeluruh antara semua kawasan dan negeri kerana kejayaan di satu tempat tidak akan membawa kemenangan nasional jika rakan lain terus ketinggalan. “Kita berada di zaman di mana kerja-kerja kita adalah ‘interconnected’ (saling berhubung) dan tidak boleh bekerja ‘in silos’ (bergerak berasingan) iaitu bekerja tanpa mengambil kira orang lain. “Kita tidak boleh berbangga dengan apa yang kita miliki atau apa yang kita capai walhal kawan-kawan kita terkapai-kapai. “Kegagalan kawan-kawan kita juga akan menyebabkan kegagalan kita di peringkat lebih besar,” katanya.